Ada ‘syarat’ kalau mahu Dr Sam jadi PM

Bendahari Agung Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) terutamanya parti itu mesti kuat di seluruh negara bukan hanya di Pantai Timur dan kawasan ‘Malay belt’ sahaja.

Menurut bekas Exco Selangor berkenaan, keadaan itu perlu wujud terlebih dahulu sekiranya mahu Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Pengerusi PN diangkat sebagai calon Perdana Menteri.

“Menang semua kerusi di sana (Pantai Timur dan kawasan ‘Malay Belt’) belum lagi dapat menabalkan Dr Sam sebagai PM.

“Jadi, kalau hendak Dr Sam jadi PM, PN terutamanya Pas mesti juga kuat di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Perlis, Sarawak dan Sabah,” katanya menurut hantaran di Facebook pagi ini.

Sebelum ini, Zaharudin Muhammad iaitu menantu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberitahu dia sependapat dengan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin bahawa Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad lebih layak menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, pelantikan Samsuri sebagai Pengerusi PN bukan bermatlamat untuk dijadikan sebagai ‘poster boy’ sekali gus calon Perdana Menteri.

BACA JUGA ‘Tunggang’ nama kebajikan, SPRM bongkar kes seleweng dana NGO makin melonjak