Waytha Moorthy diperintah bayar RM80,000 kepada PM, saman cabar keabsahan Anwar ditolak
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan saman pemula difailkan P. Waytha Moorthy bagi mencabar keabsahan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Tambun dan Perdana Menteri.
Hakim Alice Loke Yee Ching, menegaskan bahawa sebarang cabaran terhadap keputusan pilihan raya atau pemilihan mana-mana ahli Dewan Rakyat seharusnya dikemukakan melalui petisyen pilihan raya selaras dengan Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.
“Saman ini tidak dapat dipertahan atau dihujahkan.
“Plaintif tidak mempunyai harapan untuk berjaya… Oleh itu, permohonan bagi membatalkannya adalah dibenarkan,” katanya.
Dalam masa sama, mahkamah turut memerintahkan Waytha Moorthy membayar kos sebanyak RM80,000 kepada pihak defendan.
Waytha Moorthy memfailkan saman itu 12 Ogos lalu dengan mendakwa pelantikan Anwar sebagai ketua pentadbir kerajaan pada 24 November 2022 adalah tidak berperlembagaan.
Dia juga mendakwa pelantikan PMX itu sebagai terbatal dan tidak sah, selain mempersoalkan kelayakan Anwar untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
BACA JUGA 251,752 kerusi untuk Raya: Lonjakan besar perkhidmatan tren tahun ini