Ketua Pembangkang: Hadi yang pilih Hamzah, menantu mahu Samsuri

Pemilihan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang sebelum ini adalah hasil ijtihad Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bukan pilihan Presiden Bersatu, kata bekas MP Macang yang dipecat dari Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal.

Beliau memberikan penjelasan itu kepada pandangan menantu Hadi, Zaharudin Muhammad yang mahukan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Ketua Pembangkang yang baharu.

Dalam tulisannya, Zaharudin berpendapat, Samsuri jauh lebih baik untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang berbanding Hamzah.

“Antara Hamzah dan Dr Sam, bagi saya jauh baik Dr Sam jadi ketua pembangkang kerana penting keselarasan gerak kerja. Jika tak, PN buat keputusan A tiba-tiba di Parlimen ketua pembangkang buaf keputudan B,” kata Yang Dipertua Pas Sungai Buluh itu.

Namun untuk jawatan Perdana Menteri, Zaharudin mencadangkan nama Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man atau Naib Presiden Datuk Idris Ahmad.

“Ini posisi ketua pembangkang, tetapi posisi PM saya tetap konsisten dan sependapat dengan Mursyidul Am bahawa DS Tuan Ibrahim Tuan Man atau Datuk YB Ustaz Idris Ahmad adalah lebih layak, justeru ketua pembangkang dalam Parlimen tidak melibatkan pentadbiran negara atau pentadbiran kerajaan Pusat,” kata Zaharudin.

Menurut Wan Fayhsal, sebagai bekas Ketua Pemuda Bersatu, beliau terlibat dalam mesyuarat berkaitan dengan jawatan Ketua Pembangkang ini.

“Jawatan Ketua Pembangkang yang beliau pikul kini adalah hasil ijtihad Tan Sri Tuan Guru Presiden Pas yang menamakan Datuk Seri Hamzah sebagai pilihan Pas sejurus selepas PRU15 – bukan seperti yang diwar-warkan sesetengah pihak bahawa Tan Sri Muhyiddin yang memilih beliau.

“Saya boleh sahkan bahawa Tan Sri Muhyiddin sendiri amat terkejut apabila Ayah Chik menamakan Datuk Seri Hamzah dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN. Saya hadir dan menjadi saksi dalam mesyuarat tersebut, mewakili Ketua Pemuda PN yang tidak dapat hadir.

“Begitu juga dengan keputusan mengekalkan jawatan Ketua Pembangkang bagi YB Larut baru-baru ini – semuanya dilakukan melalui proses musyawarah oleh kepimpinan dan ahli-ahli parlimen Pas,” kata beliau.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, jawatan Ketua Pembangkang akan dipilih di kalangan pemimpin Pas.

Calon daripada PAS akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat keahliannya daripada BERSATU baru-baru ini.

Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu berkata, pelantikan Ketua Pembangkang baharu itu akan berkuat kuasa bermula pada penggal Sidang Parlimen yang baharu nanti.

BACA JUGA Ada ‘syarat’ kalau mahu Dr Sam jadi PM