Gari bukan isu, seksyen yang digunakan sepatutnya jadi perbahasan
OLEH DR ZULQARNAIN LUKMAN
Semua sudah tahu Zamri Vinoth dan Arun Dorasamy sudah dituduh di mahkamah pada 17 Mac (semalam) di bawah Seksyeb 505(b) Kanun Keseksaan.
Seksyen itu merujuk kepada kesalahan berkaitan kenyataan, khabar angin atau laporan yang boleh menimbulkan kegentaran awam atau mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam dan jika sabit kesalahan seseorang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sepatutnya jika netizen hendak bincang dan bahas hendaklah menjurus kepada kesalahan itu contohnya kenapa kesalahan sebegitu begitu rendah hukumannya sedangkan kesan kepada kesalahan itu amat besar dan boleh menjadi kegentaran awam yang serius.
Berkaitan merit kes memang tidak boleh dibincangkan kerana ianya akan menjadi subjudice.
Memang hukuman yang dikenakan jika sabit kesalahan adalah agak rendah berbanding dengan impak perbuatan kesalahan tersebut. Negara boleh menjadi huru hara jika berlaku perbalahan kaum dan agama.
Seorang tertuduh, P Mahendra Bhoopathy yang telah didakwa di Mahkamah Majistret Seremban telah mengaku salah atas kesalahan di bawah Seksyen 505(b) ini dan hanya dihukum denda RM4,000.
Tiada hukuman penjara dikenakan dan tiada hukuman sebat boleh dibuat kerana seksyen ini tidak memberikan peruntukan tersebut.
Tiba-tiba yang menjadi topik hangat bukannya isu kes tersebut tetapi hanya berkisar kepada isu gari tak gari dan isu YB Kula yang mengiringi Arun di mahkamah.
Isu gari ini sebenarnya bidang kuasa PDRM tetapi yang kena belasah adalah kerajaan Madani. Kan kesian itu, orang lain punya hal Anwar juga yang salah.
Kalau kita tengok gambar Zamri ke mahkamah, di sekeliling dia itu ada polis tetapi kalau kita tengok Arun mana ada polis di keliling dia. J
Jadi di situ kita boleh nampak bahawa kemungkinan Zamri itu dibawa ke mahkamah oleh polis dan prosedur polis adalah untuk menggari orang tersebut.
Kalau kita rujuk kenyataan PDRM 21.5.2013 sewaktu Adam Adli digari, Ketua Polis Sentul ketika itu menyatakan bahawa setiap tahanan akan sentiasa digari apabila dibawa keluar daripada lokap tempat tahanan atas sebab-sebab keselamatan dan Adam Adli Abdul Halim adalah tidak terkecuali dalam hal ini. Sekarang Adam Adli sudah menjadi YB dan menjadi Timbalan Menteri.
Keduanya, Zamri itu kan diwakili oleh peguam pada ketika itu. Kenapa peguam Zamri tidak berkomunikasi dengan polis untuk membuka gari Zamri. Kenapa hal ini dibesar-besarkan selepas selesai prosiding.
Katakan peguam Zamri sudah mengemukakan bantahan dengan polis tetapi polis berkeras juga hendak menggari Zamri, sudah pasti peguam Zamri akan membangkitkan hal ini di hadapan Majistret supaya ianya dapat direkodkan oleh Majistret dan DPP juga dapat memberikan arahan kepada polis supaya lain kali Zamri tidak lagi digari.
Apa yang kita lihat hanya sidang media peguam Zamri selepas pertuduhan, yang mana peguam Zamri mempertikaikan hal itu di luar mahkamah dan bukannya di hadapan majistret.
Setakat yang kita teliti laporan berita, hal gari ini tidak pernah dibangkitkan oleh peguam Zamri di hadapan majistret. Wallahualam, jika ada fakta ini sila perbetulkan.
Jika benar tidak ada bantahan dibuat di hadapan majistret maka isu gari ini hanya berbangkit tatkala ada orang membuat perbandingan antara Zamri dan Arun dan akhirnya membuat naratif bahawa kalau orang Islam polis gari dan kalau bukan Islam polis tidak gari. Ini adalah sangkaan jahat kepada polis.
Jika Zamri dan Arun dituduh di hadapan mahkamah yang sama mungkin kita boleh layan perbandingan itu tetapi Zamri dituduh di Kuala Lumpur dan Arun dituduh di Pulau Pinang.
Di situ ada crowd yang berbeza dan jumlah pengikut dan orang ramai juga berbeza.
Sudah pasti hal ini semua menjadi perkiraan polis kerana bukan sekali berlaku kes tahanan lari daripada mahkamah.
Maka, polis telah membuat SOP bahawa jika datang ke mahkamah dengan polis maka tertuduh itu akan digari.
Apa pun kita tengok lah nanti pada tarikh sebutan akan datang sama ada Zamri masih datang bergari atau tidak.
Namun, berdasarkan fakta kes boleh kita kata 99.99% dijamin Zamri akan datang berlenggang tanpa gari ke mahkamah pada tarikh sebutan akan datang.
Satu perkara lagi, berkenaan kehadiran YB Kula yang juga Timbalan Menteri Undang-Undang ke mahkamah bersama Arun.
Penjelasan YB Kula adalah beliau telah berada di Pulau Pinang sehari sebelum itu dan telah bertemu Arun untuk memberikan keyakinan kepadanya supaya percaya kepada proses undang-undang.
Katanya lagi, beliau tidak masuk ke dalam mahkamah dan hanya bertemu Arun di perkarangan mahkamah.
Apa pun YB Kula telah ditegur oleh banyak pihak sehingga ada pihak yang mengatakan YB Kula telah melakukan sabotaj terhadap kerajaan Madani dan ada yang minta beliau meletakkan jawatan.
Adalah diakui bahawa jika kita lihat daripada lensa optik politik Melayu-Islam, tindakan YB Kula itu akan menyebabkan ramai orang Melayu Islam berasa mual dengan tindakan beliau memandangkan tingkah laku Arun selama ini sudah tidak nampak semenggah sangat dengan isu-isu berkaitan orang Melayu.
Tetapi, jika dilihat daripada lensa politik India Hindu barangkali penemuan berbeza kita akan perolehi.
Mereka akan melihat YB Kula telah melakukan suatu yang murni untuk memberikan kata-kata semangat kepada Arun untuk menghadapi pertuduhan tersebut.
Jika kita lihat daripada lensa optik undang-undang, Arun ini belum disabitkan kesalahan dan dia pun tidak mengaku salah.
Jadi perjumpaan YB Kula dengan Arun ini adalah perjumpaan biasa antara kawan lama yang pernah menjadi peguamnya pada suatu masa dahulu. Tiada apa yang pelik pun jika beliau berjumpa.
Yang menjadi pelik adalah kerana jawatannya adalah Timbalan Menteri yang berkaitan undang-undang.
Maka dibuat naratif bahawa berlaku pencemaran prinsip pemisahan kuasa dan kebebasan kehakiman, campur tangan kepada kehakiman, mendatangkan kegusaran kepada majistret.
Jika benar YB Kula menyalahgunakan kedudukannya untuk mempengaruhi kehakiman atau AG sudah pasti Arun tidak akan dituduh di mahkamah.
Sudah pasti YB Kula akan gunakan seluruh kabel yang dia ada untuk AG tidak meneruskan pertuduhan terhadap Arun.
Selain itu, untuk mengatakan kegusaran berlaku adalah tidak logik sama sekali. Apa kuasa YB Kula ke atas majistret sedangkan majistret ini berada di bawah pentadbiran kehakiman. Ini jika kita lihat dari segi lensa optik perundangan.
Jika kita lihat dari segi lensa optik kepartian pula sudah pasti penyokong YB Kula itu ramai juga daripada masyarakat India.
Dan sudah pasti isu kuil haram ini memberikan tekanan kepada masyarakat India Hindu dan keberadaan YB Kula bersama Arun itu sudah pasti memberikan impak sokongan politik masyarakat India kepada beliau.
Akhir sekali, jika kita lihat dari segi lensa optik prinsip kabinet, apa yang dibuat oleh Arun itu masih lagi belum melanggar konsep ‘collective responsibility’ atau ‘ministerial responsibility’.
Ini kerana tiada apa-apa perbincangan Kabinet yang memutuskan supaya mana-mana anggota pentadbiran kerajaan untuk tidak hadir dalam prosiding mahkamah terhadap mana-mana orang yang dituduh.
Justeru, tidak timbul soal beliau perlu meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri.
Apa pun kehadiran YB Kula bersama Arun di mahkamah itu telah mencetuskan pelbagai respon negatif khasnya dalam kalangan orang Melayu Islam dan sewajarnya tindakan YB Kula pada masa akan datang perlu juga menimbangkan aspek lensa politik sebelum beliau berbuat sesuatu tindakan khususnya jika perbuatannya itu mendatangkan persepsi negatif kepada kerajaan Madani.
Beliau boleh sahaja untuk menelefon Arun dan berkongsi pandangan atau beliau boleh sahaja minum bersama Arun di mana-mana coffee house pada malam sebelum pertuduhan dibuat dan ini lebih wajar baginya daripada akibat perbuatannya itu menimbulkan pelbagai spekulasi yang tidak perlu.
BACA JUGA Ketua Pembangkang: Hadi yang pilih Hamzah, menantu mahu Samsuri