Ringgit tertinggi dalam tempoh 5 tahun berbanding dolar Singapura, boleh ke capai RM3 tahun ini?
Ringgit terus merekodkan prestasi membanggakan apabila meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lima tahun berbanding dolar Singapura hari ini.
Menurut Bernama yang memetik laporan Bloomberg, ringgit mengukuh kepada 3.0615 berbanding dolar Singapura sekali gus menunjukkan paras tertinggi yang dicapai sejak Mac 2021.
Ia disokong harga tenaga yang tinggi dan keyakinan yang semakin meningkat terhadap kecerdasan buatan (AI).
Ahli Strategi Goldman Sachs Group Inc., Danny Suwanapruti dipetik sebagai berkata, ringgit dijangka menjadi antara mata wang terbaik di Asia tahun ini.
“Berikutan gangguan di Selat Hormuz, dan kemungkinan untuk harga gas asli cecair meningkat, kami yakin Malaysia dalam kedudukan terbaik di rantau ini untuk mengharungi kejutan tenaga global.
“Kami kekal optimis terhadap ringgit dan mengekalkan saranan perdagangan untuk menjual dolar Singapura dan membeli ringgit,” menurut laporan itu seperti dilapor.
Pada 3.16 petang, ringgit berada pada 3.0633/0663 berbanding dolar Singapura daripada 3.0635/0673 semasa ditutup pada Selasa.