Raya di tengah krisis global: Sultan Selangor seru rakyat belanja berhemah
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan rakyat supaya berbelanja secara berhemah menjelang musim perayaan, susulan ketidaktentuan ekonomi akibat konflik di Asia Barat.
Baginda turut mengingatkan agar rakyat sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
Menerusi perutusan sempena Aidilfitri 1447 Hijrah, Sultan Sharafuddin bertitah, langkah itu perlu diambil bagi memastikan masyarakat mampu mendepani sebarang ketidaktentuan, khususnya kesan terhadap ekonomi.
“Beta mengambil maklum tentang perkembangan semasa di peringkat global khususnya konflik dan peperangan yang berlaku di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Barat yang memberi kesan besar kepada umat Islam di seluruh dunia.
“Beta menyeru agar setiap rakyat bersedia dengan apa jua kemungkinan termasuk berhati-hati dalam berbelanja, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’,” titah baginda dalam perutusan yang dimuat naik melalui laman Facebook Selangor Royal Office.
Dalam perutusan itu, Sultan Sharafuddin juga menitahkan umat Islam agar terus memperkukuh kesatuan dan perpaduan, serta mengelakkan sebarang pertelingkahan dan perbalahan sesama sendiri.
Baginda turut berharap semua pihak daripada peringkat pemimpin, ahli politik hingga rakyat biasa, memberikan tumpuan kepada usaha membangunkan negeri dan memakmurkan negara.
“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah dengan limpah kurniaNya dapat kita menyambut Hari Raya Aidilfitri 1447 Hijrah dalam suasana yang aman dan sentosa di Selangor ini.
“Setelah sebulan umat Islam menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh keberkatan, tibalah Syawal yang diraikan dengan penuh rasa syukur, kegembiraan serta semangat ukhuwah.
“Kita seharusnya bersyukur dengan segala nikmat dikurniakan Allah. Namun, kita tidak boleh leka dan lalai. Jadikan apa yang berlaku di luar sana sebagai pedoman dan pengajaran,” titah Sultan Selangor lagi.
BACA JUGA Aidilfitri Sabtu ini bukan esok