Malaysia-India sepakat seru henti segera krisis Asia Barat

Malaysia dan India sepakat untuk menyeru kepada penghentian segera pertempuran di Asia Barat serta menggembleng usaha untuk menjunjung suara damai, diplomasi dan dialog yang sihat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika berhubung dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi melalui panggilan telefon lewat petang tadi.

Menerusi muat naik di platform X malam ini, Anwar berkata beliau dan Modi turut sepakat bahawa kedua-dua negara mesti berganding bahu memperkukuh suara kolektif di semua pentas antarabangsa, termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan BRICS.

“Walhasil, kerjasama padu ini menjadi semakin mendesak tatkala dunia dirundung suasana ekonomi global yang kelam, termasuk memberi kesan kepada aspek keterjaminan makanan.

“Insya-Allah, Malaysia dan India akan terus memperkukuh iltizam bersama demi keamanan sejagat,” kata Perdana Menteri.

Dalam panggilan telefon dengan Modi itu, Anwar berkata beliau berkongsi pendirian tegas dan konsisten Malaysia dalam mengutuk pengeboman dan pembantaian oleh Israel terhadap Iran yang didukung Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, melalui laman X juga, Modi turut berkongsi perbualannya dengan Anwar dalam panggilan yang sama, dengan menekankan kepentingan meredakan ketegangan di Asia Barat.

Perdana Menteri India ke-14 itu menyampaikan salam kepada Anwar sempena sambutan Aidilfitri dan membincangkan situasi konflik di Asia Barat yang dicetuskan oleh perang AS-Israel ke atas Iran.

“Bercakap dengan rakan saya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dari Malaysia, dan menyampaikan salam hangat kepada beliau serta rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

“Kami juga membincangkan situasi yang amat membimbangkan di Asia Barat dan mengesahkan semula komitmen bersama kami untuk mengendurkan ketegangan serta pemulihan awal keamanan dan kestabilan melalui dialog serta diplomasi,” kata pemimpin India berusia 76 tahun itu lagi.

BACA JUGA Aidilfitri Sabtu ini bukan esok