F-35 dah tak boleh menyelinap
OLEH NIK HASYUDEEN
Central Command Amerika mengesahkan sebuah pesawat F-35 mendarat secara kecemasan di sebuah lapangan terbang di Asia Barat.
Juruterbangnya dilaporkan sebagai stabil. Agaknya mengapa perlu memberi penjelasan berkenaan keadaan juruterbang?
Di dalam masa yang sama Iran mendakwa bahawa pasukan pertahanan udara Iran berjaya mengesan dan menembak sebuah pesawat F-35 di ruang udara Iran. Iran tidak mendakwa ianya ditembak jatuh.
Jadi, jika kita gabungkan kedua-dua laporan ini, kemungkinan pesawat selinap (stealth) ini berjaya dikesan dan ditembak oleh Iran mempunyai kemungkinan yang tinggi.
Mengapa ini penting?
1. Daya menyelinap F-35 merupakan kelebihan yang dicanang-canangkan selama ini. Sekirannya ini dapat diatasi oleh Iran, satu kelebihan besar Amerika hilang. F-35 ni bukannya murah tau, dalam $100 juta sebiji.
2. Pertahanan udara Iran yang didakwa sudah dimusnahkan oleh Amerika tu masih wujud dan berfungsi. Inilah sebabnya setakat ini Amerika hanya berani menembak dari jauh dengan menggunakan misil dan bom yang boleh mencari sasaran dari jauh. Mungkin F-35 ini nak menguji sama ada Amerika sudah mendominasi ruang angkasa Iran.
F-35 juga adalah sebuah kapalterbang yang manja. Bagi setiap satu jam penerbangan, ia memerlukan dalam 10 jam untuk diselenggara.
Apabila Iran menyerang pengkalan-pengkalan udara Amerika di Teluk, F-35 kena diletakkan di lokasi yang lebih jauh dan memerlukan ianya diisi minyak beberapa kali bagi setiap serangan. Nampak tak Iran bukannya mengebom tanpa strategi.
Selagi tidak ada dominasi udara, Amerika terpaksa menggunakan bom-bom mahal yang mana bekalannya terhad.
Jika mendominasi di ruang udara, mereka boleh menggunakan bom-bom bodoh yang boleh digugurkan oleh pesawat sepertu B-52.
Di sinilah China memainkan peranan. Senjata moden memerlukan logam-logam yang dihasilkan dengan memproses nadir bumi (rare earth).
Walaupun nadir bumi ini berlambak, hanya China mempunyai kemampuan untuk memprosesnya dengan skala yang besar.
China melarang nadir bumi yang diproses dieksport bagi tujuan ketenteraan. Ini menyusahkan Amerika untuk membina alatan peperangan dan bom pintar.
Jadi, tindakan syarikat seperti Lynas yang mahu membekalkan nadir bumi ke Amerika menarik perhatian saya.
Mungkin kebenaran yang diberikan tidak mengambil kira polisi berkecuali Malaysia di dalam isu geopolitik. Ada peluang nak kenakan sekatan ke? Ini tanggungjawab pembuat polisi kita lah.
Orang seperti saya akan tanya pula “Dari mana datangnya teknologi untuk mengesan F-35 ini? Russia, China atau teknologi Iran sendiri?”. Bukankah ini berkenaan mempertahankan diri seperti yang Allah firmankan di dalam surah Al-Anfal?
Jadi, di zaman dan era ini, nak penuhi arahan Allah ni memerlukan kita pakar dalam sains. Bukan retorik semata-mata.
Jika kita tak mencapai tahap ini, ramai orang yang kena jawab di akhirat nanti, kan? Dari orang di atas sehinggalah cikgu-cikgu di sekolah. Ramai tu.
Al-Quran ini tidak boleh dibaca dengan kefahaman lampau sahaja. Apabila konteks berubah kita kena cari kaedah mengaplikasi maksud Al-Quran yang bersesuaian dengan kehidupan hari ini.
Saya tak kata orang yang nak mengamalkan arahan ayat di dalam surah Al-Anfaal tu dengan belajar naik kuda dan memanah.
Namun, jangan anggap orang yang belajar sains dan mencipta dron tu orang sekular yang mengejar dunia semata-mata.
Nota: Bila saya rujuk Pusat Persuratan Bahasa Melayu, kalimah “stealth” tu masih belum dialih bahasa secara rasmi. Ini juga satu masalah kita, teknologi berubah lebih cepat dari kemampuan kita memahami teknologi. Baik ikut Indonesia, pinjam sahaja bahasa orang asalkan ianya membantu rakyat menjadi benar-benar pandai.