Mat Sabu seru jangan buat pembelian panik, kerajaan pastikan bekalan makanan cukup
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru rakyat Malaysia supaya tidak melakukan pembelian panik, sebaliknya berbelanja secara berhemah dalam menghadapi ketidaktentuan global ketika ini.
Menerusi perutusan Hari Raya Aidilfitri 2026, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin sehingga mendorong pembelian berlebihan.
Pada masa sama beliau juga mengingatkan untuk sentiasa bersedia kerana dunia penuh dengan ketidaktentuan.
“Dalam keadaan begini, saya ingin menyeru semua supaya jangan lakukan pembelian panik. Jangan kerana satu dua khabar angin, kita membeli berlebihan.
“Saya yakin Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dengan segala kemampuan yang ada, namun rakyat juga perlu membantu dengan menyebarkan kebenaran serta menjauhi fitnah dan berita palsu,” katanya.
Sementara itu, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, ramai penganalisis menjangkakan konflik Asia Barat tidak akan berakhir dalam masa terdekat, sekali gus memberi tekanan berpanjangan kepada harga makanan dunia.
Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan perubahan terhadap harga dan situasi bekalan makanan boleh berlaku pada bila-bila masa.
Dalam masa sama, Mohamad berkata Malaysia dijangka menerima peningkatan jumlah pelancong kerana keadaan negara yang stabil dan aman, yang secara tidak langsung akan meningkatkan permintaan terhadap makanan.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa bekalan makanan negara adalah mencukupi dan terjamin sepanjang musim perayaan sehingga bulan Mei.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama semua agensi berkaitan sedang memantau stok, harga dan rantaian bekalan setiap hari.
“Jika ada tanda-tanda gangguan, kita tidak akan tunggu lama. Kerajaan bersedia mengambil apa sahaja langkah intervensi yang perlu,” katanya.
Beliau menegaskan keutamaan kerajaan adalah memastikan bekalan makanan sentiasa ada di pasaran dan rakyat mampu mengaksesnya.
BACA JUGA ‘Kami akan berdamai jika pemimpin dunia seperti anda’ – Pemikir dunia puji diplomasi Malaysia