Krisis minyak di Thailand, kita sewajarnya bersyukur
Oleh LOKMAN ADAM
Dalam suasana dunia yang semakin mencabar, berita mengenai krisis bekalan minyak di Thailand seharusnya membuka mata dan hati kita semua. Apabila hampir 30% stesen minyak terpaksa ditutup dan rakyat serta pelancong mula berdepan kebimbangan untuk bergerak, kita di Malaysia sepatutnya berfikir sejenak dan bersyukur.
Alhamdulillah, sehingga hari ini Malaysia masih stabil. Tiada laporan stesen minyak ditutup akibat kekurangan bekalan. Rakyat masih boleh bergerak bebas, menjalankan rutin harian tanpa rasa cemas. Lebih besar daripada itu, kerajaan masih mengekalkan subsidi bahan api, BUDI95 – satu bentuk keprihatinan yang memberi kelegaan besar kepada rakyat marhaen.
Bayangkan jika nikmat ini ditarik seketika, pasti kita akan merasai betapa sukarnya kehidupan tanpa jaminan bekalan asas yang sangat penting . Inilah hakikatnya, banyak nikmat yang kita kecapi hari ini sering kita anggap biasa, sedangkan di tempat lain ia menjadi satu krisis besar.
Surah Ar-Rahman ayat 13 berbunyi:
فَبِأَيِّ آلَاءٍ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?”.
Ayat ini ditujukan kepada jin dan manusia sebagai peringatan atas nikmat Allah yang melimpah ruah.
Ayat ini bukan sekadar bacaan, tetapi satu teguran yang berulang-ulang agar manusia tidak lupa diri. Nikmat keamanan, kestabilan ekonomi, bekalan mencukupi dan kepimpinan yang menjaga kebajikan rakyat, semuanya adalah anugerah yang wajib disyukuri.
Lebih-lebih lagi kita kini berada di penghujung Ramadan, bulan yang penuh keberkatan. Inilah waktu terbaik untuk kita menadah tangan, berdoa agar Allah SWT terus melindungi Malaysia daripada segala musibah, sama ada krisis ekonomi, kekurangan bekalan atau perpecahan dalam masyarakat.
Namun, dalam kita berbicara tentang nikmat, jangan kita lupa tentang ancaman kepada mereka yang kufur nikmat. Dalam ajaran Islam, sikap tidak bersyukur bukan sekadar kelemahan moral, tetapi boleh mengundang bala. Nikmat boleh ditarik, keberkatan boleh hilang dan keamanan boleh bertukar menjadi kesusahan jika manusia terus lalai dan sombong.
Sejarah telah membuktikan — banyak tamadun runtuh bukan kerana kekurangan sumber, tetapi kerana manusia gagal menghargai apa yang mereka miliki. Justeru, marilah kita jadikan situasi di Thailand sebagai pengajaran. Thailand jiran kita. Krisis ini boleh berlaku jika kita tidak bersedia dari awal.
Bersyukurlah dengan nikmat yang kita kecapi ini. Sudah sampai masa kita ketepikan sentimen politik sempit, demi masa depan negara.
BACA JUGA PM Anwar pulang ke Cherok Tok Kun menjelang Hari Raya