Konflik Sudan: 30 rakyat Malaysia selamat naiki kapal tentera laut Saudi ke Jeddah

Seramai 30 rakyat Malaysia telah selamat meninggalkan Pelabuhan Sudan dengan menaiki kapal tentera laut Arab Saudi ke Jeddah selepas menempuh perjalanan yang sukar selama 30 jam melalui darat bermula dari Khartoum.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata perjalanan merentasi Laut Merah dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 12 jam.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Kerajaan Arab Saudi dan Kerajaan UAE kerana menjayakan pemindahan itu,” katanya dalam hantaran di Twitter sebentar tadi.

Wisma Putra berkata atas semangat belas ehsan, Malaysia turut membantu warganegara Kemboja, Palestin, Filipina, Singapura, Sudan, Thailand dan Amerika Syarikat untuk meninggalkan Sudan dengan selamat di bawah pengawasan dan usaha rapi operasi pemindahan Malaysia.

Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Ab Kadir dalam kenyataan berkata semua rakyat Malaysia selamat tiba di Pelabuhan Sudan pada pukul 2.07 petang waktu Sudan (8.07 malam waktu Malaysia) pada 24 April lalu setelah melalui perjalanan sejauh 1,233 kilometer dengan mengambil masa 30 jam.

Selain 30 rakyat Malaysia, Pasukan Khas Ops Sudan juga berjaya membantu mengeluarkan 26 warganegara lain.

Ia membabitkan 14 rakyat Singapura, Kemboja (enam), Amerika Syarikat (dua) manakala Filipina, Thailand, Palestin, Sudan masing-masing seorang.

Sementara itu, dua rakyat Malaysia yang berkhidmat dalam misi PBB di Sudan akan dipindahkan oleh pihak pertubuhan dunia itu.

Laporan menyebut beberapa negara telah mula memindahkan rakyat mereka dari Sudan ketika pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) masih berlarutan di Khartoum dan beberapa bandar berdekatan.

Pertempuran itu setakat ini telah menyebabkan sekurang-kurangnya 424 orang terbunuh dan kira-kira 3,730 cedera.

Pihak berkuasa Mesir pada Ahad memindahkan 436 rakyatnya dari Sudan dengan menggunakan laluan darat, menurut Kementerian Luar Mesir, lapor Xinhua.

Â