Iran Letak “Harga Mahal”, Gencatan senjata dengan Amerika Syarikat masih buntu

Kerajaan Iran dilaporkan mengambil pendirian tegas dan yakin diri dalam menghadapi isyarat pengunduran pasukan oleh Presiden Donald Trump, dengan menetapkan syarat “harga mahal” kepada Amerika Syarikat sekiranya konflik bersenjata antara kedua-dua negara mahu ditamatkan.
Menurut laporan, Teheran secara rasmi menegaskan bahawa sebarang gencatan senjata tidak akan berlaku tanpa pampasan politik dan ekonomi yang besar. Keyakinan itu hadir selepas Iran mendakwa berjaya menembusi pertahanan udara AS di rantau Teluk serta mencapai sasaran strategik termasuk pangkalan di Diego Garcia.
Antara syarat utama yang dikemukakan ialah penarikan sepenuhnya sekatan ekonomi terhadap Iran secara kekal, pengiktirafan kedaulatan penuh terhadap program nuklear negara itu, serta pengunduran total aset ketenteraan AS dari rantau Timur Tengah.
Iran turut menegaskan bahawa kerosakan infrastruktur yang dialami akibat serangan sebelum ini perlu ditebus melalui perubahan geopolitik yang memihak kepada kedudukan mereka. Pendirian keras itu dilihat sebagai isyarat bahawa Tehran tidak menganggap dirinya berada di pihak yang kalah, walaupun kehilangan beberapa pemimpin tertinggi dan jurucakap ketenteraan dalam serangan udara terdahulu.
Dalam masa sama, ketegasan Iran meletakkan pihak White House dalam dilema. Presiden Trump dilaporkan berhasrat mengurangkan beban kos peperangan, namun tidak mahu dilihat tunduk kepada tuntutan Tehran.
Penganalisis antarabangsa berpendapat strategi “meletakkan harga tinggi” ini merupakan langkah Iran untuk memanfaatkan ketidaktentuan ekonomi global, termasuk kenaikan harga minyak yang memberi kelebihan kepada negara pengeluar. Sekiranya rundingan gagal mencapai kata sepakat dalam masa terdekat, konflik yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu ini dijangka memasuki fasa perang berpanjangan yang penuh ketidakpastian, sekali gus memberi kesan kepada kestabilan global. (Sumber: Kompas)