Yang ditunggu-tunggu sudah tiba, pasaran kewangan AS ‘sakit’

Oleh DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF

Pulangan (yield) bon 10 tahun Amerika Syarikat (AS) ini menjadi petunjuk kepada kedudukan pasaran negara itu. Nampak tak kadar yang menaik itu?

Apabila ini naik, pelabur mahukan pulangan yang lebih tinggi berdasarkan risiko yang mereka nampak. Jika ‘adat’ lama terpakai, kita boleh menjangka pasaran saham akan mendingin.

Cuma di kebelakangan ini saya menganggarkan ada banyak manipulasi harga oleh institusi-institusi kewangan besar-besar di sana bagi memberi gambaran pasaran kewangan AS sihat.

Namun, ianya ada had sekiranya asas-asas di lapangan seperti peperangan dan peningkatan jumlah penganggur meningkat.

Minggu lalu, Rizab Persekutuan AS tidak menurunkan kadar faedah seperti yang Trump mahukan.

Malah, saya dah tak dengar Trump merengek berkenaan perkara itu lagi.

Mungkin dengan berperang, Trump nak adakan alasan mengapa ekonomi AS merosot walaupun ramai penganalisis lain yang sudah menjangkannya.

Satu lagi sebab mengapa kadar faedah ini naik ialah pengurangan permintaan.

Apabila orang yang nak beli bon kurang, penerbit bon kena tawarkan faedah yang lebih tinggi. Gambaran besar kepada perkara ini ialah dedolarisasi.

Sekiranya syarat Iran yang hanya membenarkan minyak yang dibayar dengan Yuan menjadi, sistem Petrodollar yang menjadi tunggak kekuatan Dollar boleh terancam. Saya tidak ada data berkenaan perkara ini.

Pelaburan di dalam bon AS inilah sebenarnya nadi sistem kewangan berasaskan Dollar. Sekiranya pelaburan di dalam bon-bon ini berkurangan, keupayaan AS untuk mengacau orang di seluruh dunia akan melemah.

Kita tidak tahu apa yang Trump bisikkan ke telinga Perdana Menteri Jepun yang mengadap Trump baru-baru ini.

Jepun adalah pemegang bon-bon Dollar yang terbesar. Oleh sebab kadar faedah di Jepun pun sudah naik, ada kemungkinan sumbangan Jepun kepada Dollar pun akan menurun.

Ramai orang tak perasan Jepun masih membayar harga kekalahannya dalam Perang Dunia Kedua dengan menjadi tongkat kepada ekonomi AS. Mungkin inilah apa yang Iran mahu elakkan.

*DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF merupakan Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

BACA JUGA Perang Iran: AS dan Trump terkena jerat sendiri