Bekalan makanan sempena Aidilfitri kekal stabil, kerajaan siap siaga hadapi risiko perang dan cuaca panas

Bekalan makanan sempena Aidilfitri tahun ini kekal stabil, mencukupi dan boleh diakses pada harga kompetitif hasil kerjasama bersepadu pelbagai pihak, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, kestabilan tersebut dicapai menerusi koordinasi rapat antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), agensi kerajaan serta pemain industri dalam memastikan rantaian bekalan makanan negara berjalan lancar sepanjang musim perayaan.

Menurutnya, usaha bersepadu itu membolehkan rakyat menyambut Aidilfitri dalam keadaan bekalan makanan mencukupi dan harga yang masih berpatutan.

Sehubungan itu, beliau yang mesra dipanggil Bang Mat mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan yang telah bekerja keras untuk memastikan bekalan makanan cukup dan terjamin di musim cuti perayaan kali ini.

Bagaimanapun, Mohamad menegaskan bahawa kerajaan tidak akan mengambil mudah situasi semasa memandangkan landskap global yang tidak menentu, khususnya konflik geopolitik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan global.

Tegasnya, peningkatan harga minyak dan kos logistik susulan konflik tersebut boleh memberi kesan langsung kepada harga makanan dalam negara jika tidak ditangani secara proaktif.

Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, negara turut berdepan cabaran cuaca panas dan perubahan iklim yang berisiko menjejaskan produktiviti sektor pertanian serta pengeluaran makanan domestik.

Justeru, ujarnya, KPKM bersama agensi berkaitan sedang memperkukuh langkah kesiapsiagaan bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara.

“Tumpuan akan diberikan kepada pengurusan bekalan yang lebih cekap, pengukuhan rantaian agromakanan, serta pelaksanaan langkah mitigasi bagi meminimumkan kesan faktor luaran terhadap pasaran dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Kerajaan MADANI, tegas beliau, kekal komited memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi, stabil dan mampu diakses oleh rakyat dalam apa jua keadaan.

Dalam pada itu, Mohamad turut menyeru semua pihak termasuk pemain industri, petani, penternak dan pengguna agar terus memainkan peranan masing-masing dalam memperkukuh sistem makanan negara supaya kekal berdaya tahan dan mampan.

“InsyaAllah, dengan kesiapsiagaan dan kerjasama semua pihak, kita akan terus dapat melindungi keterjaminan makanan negara demi kesejahteraan rakyat,” kata beliau yang juga Presiden AMANAH itu lagi.

Dalam hal berkaitan, konflik di Timur Tengah dilihat masih belum reda meskipun telah mencecah hari ke-25 serangan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.

Presiden AS, Donald Trump mengancam untuk “memusnahkan sepenuhnya” loji janakuasa Iran jika Tehran gagal membuka semula Selat Hormuz yang merupakan laluan perkapalan bagi 20 peratus bekalan minyak global.

Namun, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan pendirian Iran terhadap Selat Hormuz tidak berubah walaupun berdepan tekanan antarabangsa dan kesan ekonomi yang teruk di Asia.

Sementara itu, pakar iklim menjangkakan tahun ini bakal merekodkan suhu dunia paling panas susulan fenomena El-Nino dan kesan pemanasan global.

Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim, Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang dilapor berkata, Malaysia berkemungkinan berdepan El-Nino terintensi kuat tahun ini sehingga awal tahun depan.

BACA JUGA Malaysia-Jepun perkukuh hubungan strategik, pertegas gencatan senjata segera di Timur Tengah