PM Anwar bincang krisis Asia Barat dengan pemimpin Bahrain, UAE
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah mengadakan perbualan telefon bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain serta Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), sempena sambutan Aidilfitri.
Beliau berkata, perbualan itu dimulakan dengan pertukaran ucapan Aidilfitri, di samping mendoakan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran buat rakyat di kedua-dua negara.
“Perbualan turut menjurus kepada perkembangan semasa di Asia Barat yang kian meruncing.
“Saya menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap ketegangan yang berlarutan serta implikasinya kepada keselamatan serantau dan kesejahteraan rakyat, di samping menyampaikan takziah atas kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda akibat daripada serangan balas yang berlaku,” katanya menerusi kenyataan malam ini.
Dalam masa sama, Anwar berkata, Malaysia kekal berpendirian bahawa segala pertikaian mesti ditangani melalui jalan damai.
Menurutnya, dialog, diplomasi dan kerjasama erat antara negara adalah satu-satunya jalan ke hadapan bagi meredakan ketegangan dan mengembalikan kestabilan, selaras dengan tuntutan kemanusiaan dan prinsip keadilan sejagat.
BACA JUGA Dari eksport ke import, fakta minyak Malaysia diputar belit walaun