Konflik Timur Tengah: Malaysia perkukuh siap siaga ekonomi, MTEN bermesyuarat hari ini

Kerajaan Malaysia akan mengambil pendekatan menyeluruh dan terselaras untuk menangani situasi konflik di Timur Tengah yang telah berlangsung selama empat minggu.

Majlis Keselamatan Negara menerusi kenyataan malam tadi memaklumkan bahawa Malaysia harus terus bersiap sedia untuk menghadapi situasi konflik yang berpanjangan yang akan membawa implikasi ekonomi bukan hanya kepada Malaysia, tetapi dunia secara keseluruhannya.

Menurut kenyataan itu, Sidang MKN Khas semalam akan disusuli oleh Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Khas hari ini yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam masa sama, MKN menegaskan bahawa Malaysia juga akan memainkan peranan proaktif untuk menyumbang kepada penyelesaian konflik tersebut.

“Dalam hal ini, YAB Perdana Menteri, YB Menteri Luar Negeri dan ketua ketua agensi keselamatan sedang berhubung rapat dengan rakan-rakan sejawat mereka.

“Sebagai contoh, pada hari ini (semalam), YAB Perdana Menten telah mengadakan perbualan telefon dengan pemimpin-pemimpin New Zealand, Jepun, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu.

“Malaysia mempunyai beberapa ciri penting untuk memainkan peranan ini.

“Sebagai contoh, kecuali Israel, Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan kesemua pemain utama dalam isu ini, pendirian konsisten, berkecuali dan sikap berterus-terang juga membuat Malaysia dihormati,” menurut kenyataan MKN itu lagi.

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump mendesak Iran supaya membuka semula laluan perkapalan di Selat Hormuz atau berdepan tindakan AS ‘memusnahkan’ loji tenaga negara itu.

Sejak perang bermula pada 28 Februari, Trump berulang kali menegaskan matlamatnya untuk menukar rejim dan membangkitkan kemungkinan melantik tokoh pro-Barat dari dalam sistem pemerintahan Iran

BACA JUGA Tiada krisis minyak, kerajaan jamin bekalan petrol, diesel dan LPG stabil