KPM arah sekolah tangguh aktiviti luar jika suhu lebih 35 darjah
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan semua institusi di bawah kementerian itu untuk menangguhkan aktiviti luar sekiranya suhu melebihi 35 darjah Celsius.
Menerusi kenyataan hari ini, KPM meminta semua institusi pendidikan di bawahnya meningkatkan persediaan dan melaksanakan langkah sewajarnya bagi menghadapi cuaca panas apabila sekolah kembali dibuka selepas tamat Cuti Penggal Satu.
Pengurusan institusi pendidikan KPM juga diarahkan untuk menasihati dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan.
“KPM meminta pihak sekolah membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman serta sentiasa berwaspada dan bekerjasama dengan klinik serta hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi kesihatan dalam kalangan murid akibat cuaca panas.
“Selain itu, pihak pengurusan sekolah boleh mempertimbangkan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan yang sopan semasa cuaca panas, bergantung kepada keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing,” kata kenyataan itu lagi.
KPM turut menekankan bahawa semua institusi pendidikan perlu peka terhadap situasi semasa fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa.
Berdasarkan kalendar akademik, cuti penggal Kumpulan A membabitkan Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula 20 Mac hingga 28 Mac.
Sementara Kumpulan B merangkumi Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bercuti dari 21 Mac hingga 29 Mac.