Walau masih Aidilfitri, PMX gerak MTEN tangani krisis global, lindungi kos sara hidup rakyat

Walaupun negara masih dalam suasana Aidilfitri, Kerajaan MADANI terus bekerja apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 3/2026.

Mesyuarat pada 5 Syawal ini memberi tumpuan kepada perkembangan geopolitik semasa, tekanan ekonomi global serta implikasi keselamatan susulan konflik di Asia Barat yang berpotensi memberi kesan kepada Malaysia.

Perdana Menteri menegaskan bahawa kesejahteraan rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup, kekal menjadi keutamaan kerajaan walaupun dalam tempoh perayaan.

Menurut beliau, beberapa langkah intervensi awal yang proaktif dan tuntas akan dilaksanakan segera bagi memastikan ketahanan ekonomi negara terus terpelihara.

“Kerajaan turut menggembleng usaha menjamin keterjaminan bekalan tenaga, termasuk mempelbagaikan sumber serta meneroka laluan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan berisiko seperti Selat Hormuz,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, situasi semasa akan terus dipantau secara rapi dengan maklumat disalurkan secara telus kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Dalam masa sama, Anwar menyeru rakyat agar mengekalkan ketenangan, disiplin serta semangat kebersamaan dalam mendepani cabaran global, demi memastikan negara kekal stabil dan berdaya tahan.

Perang berlanjutan

Untuk rekod, perang yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran terus berlanjutan dan memasuki hari ke-26 serangan.

Lapor Al Jazeera hari ini, serangan terbaharu di selatan Tehran mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan 28 yang lain.

Beberapa letupan di timur Tehran pula dilapor memusnahkan sebuah sekolah serta beberapa bangunan kediaman.

Sementara itu, Trump mendakwa rundingan dengan Iran sedang berlangsung untuk menamatkan perang, dengan menyatakan Tehran bersetuju untuk tidak mendapatkan senjata nuklear serta memberi bayangan mengenai “ganjaran” berkaitan minyak, gas dan Selat Hormuz.

Walhal, Iran sejak sekian lama menegaskan ia tidak berhasrat memiliki senjata nuklear dan berulang kali menyatakan tiada rancangan untuk membangunkan program senjata nuklear.

Bekas pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei, juga pernah mengeluarkan fatwa pada 2003 yang melarang senjata nuklear.

Semalam, Iran dilaporkan melancarkan satu lagi gelombang serangan peluru berpandu ke atas Israel.

Menurut AFP memetik media Israel, Iran menggunakan peluru berpandu jenis kluster yang dilengkapi tiga hingga empat hulu peledak, setiap satu membawa kira-kira 100 kilogram bahan letupan.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 3,230 rakyat Iran termasuk 1.406 orang awam terkorban sejak serangan AS-Israel bermula pada 28 Februari lalu.

BACA JUGA ‘Baik banding zaman dinasour’, askar berang tiket bas balik Kelantan mahal dikecam