‘Minum air kelapa, bantu petani’, menteri seru rakyat pilih minuman sihat musim panas

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menggalakkan rakyat memilih air kelapa muda sebagai minuman alternatif yang lebih sihat ketika cuaca panas pada masa ini, sekali gus menyokong pendapatan petani tempatan.

Beliau berkata, air kelapa bukan sahaja membantu menyejukkan badan, malah berfungsi sebagai sumber hidrasi semula jadi yang baik untuk kesihatan serta memberikan tenaga tanpa perlu bergantung kepada minuman manis berlebihan.

Menurutnya, pilihan minuman berasaskan sumber semula jadi seperti air kelapa adalah lebih baik berbanding minuman bergula yang boleh menjejaskan kesihatan jika diambil secara berlebihan.

“Dalam kita menikmati air kelapa, kita juga sebenarnya membantu meningkatkan pendapatan petani tempatan.

“Setiap biji kelapa tu ada usaha petani kita di belakangnya,” katanya menerusi laman media sosial rasmi beliau.

Sehubungan itu, Mohamad yang juga Presiden AMANAH menyeru orang ramai agar menjaga kesihatan sepanjang musim panas dengan memilih minuman yang lebih sihat, di samping terus menyokong hasil pertanian tempatan.

“Musim panas ni kita jaga diri, pilih yang sihat, dan sokong hasil tempatan!” kata Ahli Parlimen Kota Raja itu lagi.

Mohamad turut berkongsikan infografik tujuh kebaikan air kelapa selain melegakan dahaga ketika cuaca panas.

Untuk rekod, suhu dunia tahun ini dijangkakan bakal direkodkan paling panas susulan fenomena El-Nino dan kesan pemanasan global.

Menurut Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang, fasa El-Nino berupaya meningkatkan suhu dunia di mana 2024 diisytiharkan sebagai tahun terpanas dunia susulan peningkatan 1.55 darjah Celsius.

Fredolin yang juga Felo Akademi Sains Malaysia dilapor berkata, suhu pada tahun 2025 sedikit menurun berbanding 2024 susulan pengaruh fenomena La Nina iaitu fasa sejuk dalam kitaran iklim global.

Namun, jelasnya, kesan pemanasan global yang terus meningkat menjadikan suhu dunia tahun lalu adalah ketiga terpanas setakat ini.

BACA JUGA ‘Baik banding zaman dinasour’, askar berang tiket bas balik Kelantan mahal dikecam