PM Anwar gesa gencatan senjata diperluas ke Lubnan, bimbang keselamatan serantau kian meruncing
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menggesa peluasan gencatan senjata merangkumi Lubnan susulan situasi keselamatan yang semakin meruncing di selatan negara itu serta peningkatan ketegangan serantau.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbualan telefon semalam dengan rakan sejawatnya dari Lubnan, Nawaf Salam, sambil turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1447 Hijrah.
Menurut Anwar, Malaysia memandang serius perkembangan di Lubnan yang dilaporkan telah menyebabkan kira-kira satu juta penduduk kehilangan tempat tinggal serta lebih 1,000 nyawa terkorban.
“Saya menegaskan sokongan Malaysia terhadap kedaulatan Lubnan, mengutuk serangan ke atas infrastruktur awam, serta menyeru semua pihak untuk meredakan ketegangan dan kembali kepada dialog, di samping menyentuh situasi kemanusiaan yang semakin mendesak,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di media sosial rasmi beliau.
Dalam perbualan sama, Anwar turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan berterusan kerajaan Lubnan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang berkhidmat di bawah misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).
Tokoh Muslim ke-10 paling berpengaruh di dunia itu menegaskan bahawa keutamaan Malaysia adalah memastikan anggota MALBATT dapat terus melaksanakan tugas dengan berkesan walaupun berdepan suasana keselamatan yang mencabar.
“Mengakhiri perbualan, saya menzahirkan komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan Lubnan dan rakan antarabangsa dalam memulihkan keamanan dan kestabilan serantau,” tambah Anwar lagi.
Sejak 2 Mac lalu, Lubnan diheret ke dalam konflik serantau apabila kumpulan Hizbullah, yang disokong Iran melancarkan peluru berpandu ke arah Israel.
Rejim ganas Israel kemudian mengarahkan semua penduduk meninggalkan kawasan Sungai Litani yang dilihat sebagai kubu kuat Hizbullah sambil melancarkan serangan udara secara berterusan.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 1,039 orang telah terkorban, manakala 2,876 lagi cedera di Lubnan dalam serangan zionis Israel.
Pihak berkuasa Lubnan memaklumkan lebih sejuta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman selepas Israel mengarahkan pemindahan di beberapa kawasan negara itu.
BACA JUGA Pasaran minyak global tidak menentu, ini bukti kerajaan MADANI komited lindungi rakyat