Di antara mazhab dan kuasa
Oleh MOHAMAD SABU
Naratif yang cuba menggambarkan konflik dunia Islam hari ini sebagai pertembungan mazhab adalah satu pembodohan. Ia sengaja dibentuk untuk memecah-belahkan umat. Hakikatnya, sejarah dan perkembangan semasa membuktikan bahawa isu mazhab hanyalah alat, sedangkan pertarungan sebenar adalah soal kuasa, pengaruh dan kepentingan geopolitik yang didorong oleh Israel serta sekutunya Amerika Syarikat dan Britain.
Jika kita menelusuri sejarah, ketika kejatuhan Empayar Uthmaniyah, British melalui Lawrence of Arabia dan Jeneral Allenby telah menggerakkan kebangkitan Arab, majoritinya bermazhab Sunni untuk menentang kerajaan Uthmaniyah yang juga Sunni. Ini menunjukkan bahawa apabila kuasa menjadi taruhan, kesamaan mazhab tidak menjadi penghalang kepada perpecahan.
Dalam konteks Syria pula, dunia menyaksikan bagaimana Bashar al-Assad digulingkan kerana membenarkan pelbagai gerakan penentang Israel termasuk Hamas, Jihad Islam dan Hezbollah membuka pejabat di Syria. Bahkan kumpulan berhaluan kiri Palestin turut menjadikan Syria sebagai pangkalan perjuangan. Apabila Syria menjadi pusat sokongan kepada gerakan anti-Israel, isu mazhab mula ditiupkan secara agresif untuk melemahkan dan menjatuhkan kerajaan tersebut. Ini membuktikan bahawa mazhab digunakan sebagai alat, bukan punca sebenar konflik.
Sejarah juga menunjukkan bagaimana dunia Arab berdiam diri ketika kekejaman berlaku di Hama (1982) di bawah Hafiz al-Assad. Tiada kecaman besar-besaran kerana pada ketika itu, kedudukan geopolitik dan pengaruh Anglo-Amerika lebih dominan daripada sentimen mazhab.
Dalam perang Iran-Iraq selama lapan tahun, isu mazhab dimainkan untuk membakar sentimen kononnya Sunni menentang Syiah. Namun sebelum revolusi, Iran di bawah Shah yang bermazhab Syiah adalah sekutu kuat Amerika dan Israel. Ketika itu, tidak timbul langsung isu mazhab. Ini membuktikan bahawa mazhab hanya dibangkitkan untuk kepentingan kuasa besar.
Begitu juga ketika Perang Teluk (Desert Storm), apabila Amerika Syarikat menyerang Iraq, negara Arab Sunni turut membantu Amerika untuk mengalahkan Saddam Hussein, termasuk memberi bantuan ketenteraan dan kewangan. Tetapi Syiah Alawi Syria dan Syiah Imamiah Iran tidak menyokong tindakan Amerika. Keadaan ini sekali lagi memperlihatkan bahawa yang menentukan sikap negara-negara tersebut bukanlah faktor mazhab, tetapi kepentingan geopolitik dan percaturan kuasa.
Lihat pula Azerbaijan, sebuah negara yang majoriti rakyatnya sekitar 85 peratus bermazhab Syiah, namun pada masa yang sama menjadi antara pembekal tenaga kepada Israel. Malah, negara ini turut menjadi destinasi pelancongan popular dalam kalangan masyarakat Arab Sunni kerana sifatnya yang lebih terbuka dan sosial. Dalam konteks ini, isu perbezaan mazhab langsung tidak menjadi pertikaian, kerana Azerbaijan tidak dilihat sebagai ancaman kepada kepentingan Israel dan sekutunya. Keadaan ini sekali lagi menunjukkan bahawa naratif mazhab seringkali diketepikan apabila ia tidak bertembung dengan kepentingan geopolitik.
Kita juga tidak boleh melupakan bagaimana kerajaan Dr. Mohamed Morsi di Mesir, seorang Sunni yang dipilih secara demokrasi dijatuhkan dengan sokongan kuasa Barat dan sebahagian negara Arab. Jika benar ini soal mazhab, mengapa kerajaan Sunni tidak dipertahankan?
Begitu juga dengan Hamas dan Jihad Islam yang bermazhab Sunni. Mereka berjuang menentang Israel, namun tidak disokong oleh negara Arab Sunni. Bahkan ada kalangan negara Arab Sunni yang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel. Berbeza dengan Iran, walaupun mereka bermazhab Syiah, tetapi tetap membantu Hamas dan Jihad Islam yang bermazhab Sunni. Jelas kebimbangan sebenar bukanlah mazhab, tetapi pengaruh politik yang boleh menggugat struktur kuasa sedia ada di rantau tersebut.
Selepas Revolusi Iran, apabila Imam Khomeini meletakkan pembebasan Palestin sebagai agenda utama, barulah isu mazhab dimainkan secara sistematik. Naratif Syiah-Sunni dipopularkan untuk menghalang pengaruh revolusi ini daripada merebak ke dunia Islam.
Hari ini, apabila Amerika Syarikat dan Israel berdepan secara terbuka dengan Iran, isu mazhab kembali dihidupkan. Kita harus sedar bahawa ini adalah strategi lama yang diulang, memecah-belahkan umat Islam supaya mereka tidak bersatu menentang kezaliman.
Lebih menarik, konflik semasa bukan lagi semata-mata peperangan konvensional, tetapi telah beralih kepada peperangan teknologi melibatkan keupayaan pertahanan, kecerdasan, dan penguasaan sistem moden. Ini menandakan perubahan besar dalam landskap geopolitik dunia, di mana kuasa Barat juga menunjukkan tanda-tanda perpecahan dalaman, termasuk dalam blok NATO.
Dalam perkembangan ini, kita melihat semakin ramai umat Islam merentasi mazhab mula menyedari hakikat sebenar. Sokongan terhadap perjuangan Palestin kini datang daripada pelbagai latar belakang, membuktikan bahawa kesedaran umat sedang berkembang dan tidak lagi mudah dipermainkan dengan sentimen mazhab.
Kesimpulannya, pertembungan hari ini bukanlah antara Sunni dan Syiah. Ia adalah pertembungan antara keadilan dan kezaliman, antara yang tertindas dan yang menindas. Mazhab hanyalah topeng yang digunakan oleh kuasa luar untuk mengekalkan dominasi mereka.
Umat Islam perlu keluar daripada perangkap ini dan melihat dunia dengan lensa yang lebih jernih dan berani.
- Penulis adalah Presiden Parti Amanah Negara yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
BACA JUGA Filipina isytihar darurat tenaga, negara Asia Tenggara pertama berbuat demikian