KPDN perkasa penguatkuasaan larangan RON95 kenderaan asing mulai 1 April

FOTO BERITA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali hari ini memaklumkan bahawa kerajaan kini berada di peringkat akhir persiapan bagi menguatkuasakan peluasan larangan pembelian dan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing, yang akan berkuat kuasa mulai 1 April ini. (Gambar – (UKK KPDN)

Menurut beliau, langkah tersebut merupakan pengukuhan kepada kerangka perundangan sedia ada, di mana sebelum ini kesalahan hanya dikenakan ke atas pengusaha stesen minyak. Namun, menerusi peluasan baharu itu, tindakan turut akan diambil terhadap pemandu atau pemilik kenderaan asing yang melanggar peraturan berkenaan.

“Penguatkuasaan ini adalah susulan keputusan yang telah dibentangkan di Parlimen pada 29 Januari lalu, dan kini memasuki fasa pelaksanaan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini. Terdahulu, beliau memulakan tugas di pejabat dengan mengadakan sesi libat urus bersama Malaysia Retail Association (MRA), yang merupakan antara organisasi utama mewakili pemain sektor peruncitan negara.

Perbincangan tertumpu kepada isu-isu berkaitan konflik Asia Barat serta implikasinya terhadap keterjaminan bekalan dan kestabilan harga barangan. Armizan menjelaskan bahawa hasil kerjasama erat antara kerajaan dan industri, bekalan barangan keperluan asas yang diimport masih mencukupi meskipun berdepan cabaran seperti peningkatan kos logistik dan bahan pembungkusan.

Sehubungan itu, operasi bersepadu di bawah OPS Tiris 4.0 akan terus diperkasa bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan memastikan pematuhan undang-undang.

Armizan turut mengingatkan semua pihak termasuk pengusaha stesen minyak dan pengguna kenderaan asing supaya mematuhi larangan tersebut, sambil menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau penyelewengan subsidi bahan api. “Kegagalan mematuhi peraturan ini akan dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang yang berkuat kuasa,” tegas beliau.

Dalam pada itu, orang ramai turut diseru untuk memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan penyeludupan bahan api bersubsidi.

Beliau yakin, melalui kerjasama semua pihak selaras dengan agenda “KITA GEMPUR”, usaha membanteras ketirisan dan melindungi kepentingan rakyat dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.