BUDI95 di selaraskan kepada 200 liter sebulan mulai 1 April
Kerajaan menyelaraskan kouta penggunaan BUDI95 yang berharga RM1.99 kepada 200 liter sahaja sebulan berikutan 90 peratus rakyat negara ini hanya menggunakan petrol 200 liter ke bawah dari kouta 300 liter sebelum ini.
Perkara ini diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan khasnya petang ini ekoran perang antara Iran dengan Amerika dan Israel yang menyekat Selat Hormuz di Timur Tengah.
48 peratus sumber minyak untuk Malaysia datang melalui Selat Hormuz.
PM Anwar berkata, langkah ini diambil sementara menunggu keadaan minyak, bekalan minyak dan ekonomi dunia pulih.
“Maka untuk meringankanbeban rakyat, saya tegaskan BUDI95 kekal padaRM1.99 seliter,” katanya dalam pengumuman khas hari ini.
Kerajaan juga ujarnya akan mula menghadkan pengisian untuk ketika ini seperti berikut:•
- Kenderaan ringan pengangkutan darat awam, barangan dan persendirian maksimum 50 liter setiap pembelian.
- Kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebih 3 tan, maksimum 100 liter setiap pembelian.
- Kenderaan melebihi 3 tan, maksimum 150 liter setiap pembelian.
“Jadi saya mohon rakyat, rakan-rakan memahami langkah ini terpaksa diambil untuk menjaga kepentingan ramai. Ia tidak mudah, mungkin sedikit menyusahkan sebahagian rakyat”, katanya.
Dua minggu lalu, Kerajaan memaklumkan subsidi bahan api meningkat kepada sekitar RM3.2 bilion. Hari ini, jumlah itu terus melonjak sehingga mencecah RM4 bilion sebulan, kata Anwar.
“Sejak awal konflik ini, Kerajaan MADANI telah bertindak awal untuk memastikan bekalan tenaga kekal mencukupi tanpa mengorbankan kesejahteraan rakyat.
“Namun, ikhtiar ini berdepan cabaran besar susulan situasi yang kian meruncing di Asia Barat. Kerajaan perlu mengimbangi antara kemampanan fiskal dengan keperluan memastikan bekalan tenaga terus dapat dinikmati rakyat sepanjang krisis ini,” katanya.
Langkah sementara ini memastikan majoriti rakyat terus dilindungi, bekalan kekal stabil dan negara kekal bertahan dalam ketidaktentuan global.
“Saya turut merakamkan penghargaan kepada rakyat yang cakna dan tampil melaporkan aktiviti mencurigakan di stesen minyak, sekali gus membantu melindungi subsidi daripada diseleweng.
“Dalam tempoh mencabar ini, disiplin dan kebersamaan kita menjadi kekuatan utama. Saya memohon kerjasama semua untuk terus berhemah dan memahami langkah yang diambil demi memastikan bekalan kekal terjamin untuk semua,” kata PM Anwar.
Walaupun dunia bergolak akibat konflik Asia Barat, harga minyak Malaysia kekal antara paling murah di ASEAN.
BUDI95 masih RM1.99 seliter!
Perbandingan:
- Malaysia (BUDI95): RM1.99 •
- Singapura: RM9–10.70
- Thailand: RM5.80–6.14
- Filipina/Vietnam: RM5.50–6.50
- Indonesia: RM3.80–4.50
BACA JUGA Rundingan dengan Iran mesti untuk tamatkan perang, kata Anwar kepada Al Jazeera