Majikan sektor swasta pula disaran laksana kerja dari rumah, kurangkan impak ekonomi dunia

Majikan sektor swasta diseru untuk melaksanakan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) susulan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya peraturan kerja lebih anjal dilaksanakan termasuk bekerja dari rumah (BDR) sebagai langkah menghadapi cabaran krisis tenaga dunia dan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan AKF memberi manfaat menyeluruh kepada majikan dan pekerja, termasuk mengoptimumkan penggunaan sumber serta menyokong kesejahteraan pekerja melalui keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik. 

Kenyataan itu turut menyebut bahawa majikan digalakkan untuk menilai kesesuaian pelaksanaan AKF di organisasi masing-masing berdasarkan keperluan operasi, termasuk melalui pendekatan bekerja dari rumah, waktu kerja anjal, penggiliran kerja atau model hibrid.

“Selaras dengan langkah ini, majikan diseru untuk mempertimbang pelaksanaan AKF yang diperkenalkan di bawah pindaan Akta Kerja 1955 [Akta 265] yang telah berkuat kuasa pada 1 Januari 2023. 

“Di bawah peruntukan Seksyen 60P dan 60Q Akta 265, pekerja boleh memohon pengaturan kerja fleksibel kepada majikan, sekali gus memperkukuh amalan kerja moden yang lebih responsif terhadap keperluan semasa.

“Peruntukan baharu ini membolehkan pekerja membuat permohonan kepada majikan untuk bekerja secara fleksibel sama ada dari segi waktu bekerja, hari bekerja atau tempat bekerja (work from home),” katanya.

Bagi menjamin kebajikan pekerja, majikan yang telah melaksanakan AKF tidak boleh mengurangkan faedah-faedah yang telah diperuntukkan di bawah akta ini seperti bayaran kerja lebih masa, bayaran kerja pada hari rehat, bayaran kerja pada cuti am, pemberian cuti rehat, cuti tahunan, hari kelepasan am dan cuti sakit. 

Bagi menyokong pelaksanaan ini, KESUMA melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menyediakan pelbagai sokongan kepada majikan termasuk khidmat nasihat pembangunan dasar AKF, latihan serta perkongsian amalan terbaik bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan dan tersusun. 

Bagi memudahkan majikan melaksanakan AKF, JTKSM telah menerbitkan Garis Panduan Pelaksanaan AKF pada tahun 2024 yang boleh dimuat turun di pautan https://www.mohr.gov.my/images/pdf/Garis%20Panduan%20AKF%202024.pdf.

Sehubungan itu, KESUMA menyeru semua majikan sektor swasta untuk mengambil langkah proaktif dalam mengadaptasi AKF sebagai strategi penting bagi memperkukuh daya tahan organisasi, mengurangkan impak krisis tenaga serta memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara dalam persekitaran global yang mencabar.

BACA JUGA Warga Indonesia minta tolong Anwar lepas Presiden Iran berterima kasih ketegasan Malaysia