7 kapal tangki Malaysia tunggu isyarat lalui Selat Hormuz
Tujuh kapal tangki milik syarikat Malaysia kini menunggu isyarat untuk melalui laluan selamat Selat Hormuz susulan situasi keselamatan yang tegang di rantau Asia Barat, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata kapal berkenaan termasuk melibatkan syarikat milik Petronas dan Sapura Energy tidak ditahan, sebaliknya menunggu masa sesuai untuk bergerak bagi memastikan pelayaran selamat, lapor Bernama.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai keputusan Iran membenarkan kapal minyak Malaysia melalui Selat Hormuz.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan awal Iran itu membolehkan kapal minyak Malaysia dan pekerjanya, meneruskan perjalanan pulang.
“Saya ambil kesempatan juga ucapkan terima kasih kepada Presiden Iran (Masoud Pezeshkian), kerana awal memberi laluan dan sekarang kita dalam proses untuk melepaskan kapal minyak Malaysia dan pekerja yang terlibat supaya dapat meneruskan perjalanan mereka pulang,” katanya dalam Perutusan Khas mengenai langkah strategik menangani krisis tenaga berikutan perang di Asia Barat hari ini.
Menurut Anwar, Malaysia turut terkesan berikutan peperangan di rantau itu serta penutupan Selat Hormuz.
“Tapi untuk kita sekarang, kita terpaksa tangani kerana kesan daripada sekatan di Selat Hormuz, kemudian peperangan, bekalan minyak dan gas yang terhenti, semuanya ada kesan kepada kita, walaupun sekali lagi saya katakan, kita dalam keadaan yang jauh lebih baik kerana keupayaan PETRONAS selama ini,” katanya.
Namun begitu, katanya, Malaysia masih mengambil tindakan yang perlu kerana tidak terlepas dari segala permasalahan.
“Bekalan makanan terjejas, harga tentunya akan meningkat. Baja juga begitu, tentunya minyak dan gas. Jadi, ada langkah-langkah yang perlu kita ambil.
“Ada negara-negara yang jauh lebih parah kesannya dari kita, tetapi ini tidak bermakna kita terlepas semuanya sekali,” katanya.
Justeru, Perdana Menteri meminta rakyat memahami pendekatan yang diambil kerajaan.
BACA JUGA Pusat arah berjimat, MB Kedah anjur Rumah Terbuka untuk 80,000 tetamu