AMANAH cadang Konsensus Nasional hadapi kesan Perang Timur Tengah
AMANAH mencadangkan agar pihak kerajaan dan pembangkang bekerjasama untuk membentuk Konsensus Nasional bagi menghadapi kesan dari perang di Timur Tengah sekarang.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, menegaskan bahawa konflik ini bukan sekadar isu geopolitik luar, sebaliknya mempunyai implikasi langsung terhadap ekonomi Malaysia—termasuk kenaikan harga tenaga, tekanan inflasi serta gangguan rantaian bekalan global.
“Apabila laluan strategik seperti Selat Hormuz terjejas, kesannya akan dirasai sehingga ke dapur rakyat Malaysia. Kos sara hidup meningkat, tekanan kepada subsidi bertambah dan ruang fiskal kerajaan menjadi semakin mencabar,” ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa Malaysia tidak boleh berdepan cabaran ini dalam keadaan politik yang berpecah-belah.
“Situasi ini menuntut satu pendekatan baharu berasaskan konsensus nasional yang merentasi garis politik.
“Ini bukan masa untuk berpolitik secara sempit. Ini adalah masa untuk semua pihak kerajaan dan pembangkang membina kesepakatan dalam isu ekonomi yang menyentuh kehidupan rakyat secara langsung,” tegas beliau.
Menurut beliau, antara keutamaan yang memerlukan sokongan bipartisan ialah
Pengurusan inflasi dan kos sara hidup secara menyeluruh
- Reformasi subsidi secara bersasar dan berhemah
- Pengukuhan keselamatan makanan dan tenaga negara
- Pemeliharaan keyakinan pelabur melalui kestabilan politik
Beliau turut menyifatkan krisis ini sebagai peluang untuk mematangkan landskap politik negara melalui pendekatan Politik Rahmah dan Politik Nilai yang mengutamakan tanggungjawab bersama berbanding retorik perpecahan.
“Dalam saat dunia berdepan ketidaktentuan, kekuatan kita sebagai sebuah negara bergantung kepada keupayaan kita untuk bersatu. Konsensus nasional bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan mendesak,” katanya.
Mengakhiri kenyataan, beliau menyeru semua pimpinan politik agar menurunkan suhu politik dan memberi tumpuan kepada agenda besar negara.
“Rakyat tidak mahu melihat perbalahan berterusan ketika mereka sendiri berdepan tekanan ekonomi. Mereka mahukan kepimpinan yang matang, bersatu dan bertanggungjawab. Inilah masa untuk kita buktikan bahawa politik boleh menjadi alat penyatuan, bukan perpecahan,” ujar beliau.
BACA JUGA Pusat arah berjimat, MB Kedah anjur Rumah Terbuka untuk 80,000 tetamu