Mall terbesar di dunia adalah di Iran, betulkah?

Sebuah pusat membeli-belah di Iran yang dikatakan terbesar di dunia menarik perhatian pengguna media sosial selepas berkongsi pengalaman unik menjelajah kompleks gergasi itu yang mencecah hampir dua juta meter persegi.

Menerusi perkongsian di Facebook, pengguna dikenali sebagai Agiel Putra berkata, Iran Mall yang terletak di barat Tehran bukan sahaja luas, malah memukau dari segi seni bina dalaman yang menggabungkan elemen tradisional Parsi dengan sentuhan moden mewah.

Menurutnya, bahagian dalam pusat beli-belah itu menjadi tarikan utama kerana reka bentuknya yang elegan dan mempesona sehingga membuatkan pengunjung tidak jemu memandang.

“Sejujurnya kali ini, saya memang tiada masa untuk pusing-pusing. Kerana ia begitu luas, penat.

“Cuba bayangkan, kerana keluasannya, ada tempat hiking di puncak mall,” katanya yang dilihat menarik perhatian hampir 8,000 pengguna Facebook setakat ini untuk meninggalkan tanda suka.

Tambahnya, keluasan kompleks niaga itu turut membolehkan wujudnya kemudahan luar biasa termasuk laluan seakan aktiviti ‘hiking’ di bahagian atas bangunan.

Selain itu, beliau turut menonjolkan keunikan ruang kebudayaan dikenali sebagai Perpustakaan Joundy Saphour yang menempatkan lebih 45,000 buku serta manuskrip kuno dalam suasana seni bina yang eksklusif.

Dalam masa sama, pengunjung juga berpeluang merakam gambar dengan perkhidmatan jurugambar profesional yang turut menyediakan penyewaan pakaian bangsawan Parsi, sekali gus memberikan pengalaman seolah-olah berada dalam era klasik Iran.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pengunjung bebas mengambil gambar sendiri menggunakan telefon pintar tanpa sebarang bayaran di seluruh kawasan kompleks.

Dari segi akses, Agiel memberitahu bahawa tiada stesen metro berhampiran pusat beli-belah itu.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan penggunaan aplikasi teksi tempatan, Snapp, sebagai pilihan lebih menjimatkan.

BACA JUGA Bila nak ‘membuang’ pun payah, mereka memberontak?