‘Tanam sendiri, jangan bergantung sepenuhnya’, menteri seru rakyat hadapi kesan krisis global
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru rakyat Malaysia agar mengambil langkah proaktif dengan menanam sendiri bahan makanan asas di rumah sebagai usaha menghadapi ketidaktentuan bekalan global susulan konflik geopolitik di Asia Barat.
Menurutnya, krisis antarabangsa bukan lagi isu yang jauh dari kehidupan harian, sebaliknya memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan makanan dunia yang akhirnya boleh menjejaskan pengguna di negara ini.
“Kita mungkin tak nampak secara langsung, tapi impaknya boleh sampai ke meja makan kita,” kata Mohamad menerusi hantaran di media sosial rasminya hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan rakyat memanfaatkan ruang sedia ada di rumah untuk menanam tanaman mudah seperti cili, sayur-sayuran dan ulam sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada pasaran.
Beliau berkata, usaha kecil seperti itu bukan sahaja membantu menjimatkan perbelanjaan, malah memberi manfaat kepada kesejahteraan keluarga dalam jangka panjang.
Dalam masa sama, Mohamad memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memperkukuh sistem keterjaminan makanan negara bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan mudah diakses oleh rakyat.
“Ini tanggungjawab yang sedang dan akan terus kita laksanakan.
“Yang penting, kita sama-sama ambil peranan. Mulakan dengan apa yang ada.
“Insya-Allah, usaha kecil hari ini akan jadi kekuatan besar untuk masa depan,” kata Mohamad lagi.
Untuk rekod, perang Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran genap sebulan sekaligus menjejaskan kestabilan pasaran minyak global.
Beberapa negara sudah mula berdepan gangguan bekalan bahan api selepas pemerintah melaksanakan catuan atau mengalami situasi bekalan tenaga terputus.
BACA JUGA Mall terbesar di dunia adalah di Iran, betulkah?