JP Morgan ramal Malaysia, China dapat bertahan jika Asia berdepan kejutan tenaga global
Penganalisis JP Morgan meramalkan kebanyakan ekonomi di Asia berisiko terjejas sekiranya berlaku kejutan dalam sektor tenaga global, kecuali Malaysia dan China.
Beliau berkata, Malaysia dan China mampu bertahan lebih baik kerana mempunyai struktur tenaga serta kekuatan ekonomi yang lebih stabil berbanding negara lain di rantau ini.
Kejutan tenaga merujuk kepada peningkatan mendadak harga minyak dan gas atau gangguan bekalan yang sering berpunca daripada ketidaktentuan geopolitik.
Situasi ini boleh memberi kesan besar kepada ekonomi global, khususnya negara yang bergantung kepada import tenaga.
Menerusi perbincangan antara Rajiv Batra dengan CNBC, penganalisis berkata, kebanyakan negara Asia merupakan pengimport bersih tenaga dan amat bergantung kepada bekalan dari luar.
Keadaan ini menjadikan mereka lebih terdedah kepada kenaikan harga global, sekali gus memberi tekanan kepada inflasi dan pertumbuhan ekonomi.
Namun katanya, Malaysia dan China dilihat berada dalam kedudukan lebih stabil berbanding ekonomi Asia lain.
“Malaysia mempunyai beberapa penampan kukuh termasuk kedudukannya sebagai pengeksport bersih tenaga.
“Selain itu, defisit fiskal negara berada pada tahap terkawal hasil dasar kerajaan yang berdisiplin, manakala kadar inflasi juga kekal sederhana
“Keadaan ini menyediakan ruang perlindungan yang bukan sahaja menyokong pasaran ekuiti sebagai kelas aset, malah turut membantu menstabilkan nilai mata wang negara,” ujarnya,” ujarnya.
Pada masa sama katanya, China mempunyai kawalan lebih ketat terhadap sektor tenaga selain sumber domestik mencukupi termasuk arang batu dan tenaga alternatif.
Malaysia juga mempunyai kelebihan tersendiri sebagai antara pengeluar minyak dan gas di rantau ini, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import tenaga.
Justeru, Malaysia dan China dilihat mempunyai kelebihan untuk mengharungi cabaran tersebut dengan lebih baik berbanding negara lain di rantau ini.
BACA JUGA Dunia di ambang bencana global, MP DAP ini gesa rakyat Malaysia bersatu