Belia Malaysia–Indonesia sokong kepimpinan Anwar, Prabowo perkukuh kesepaduan Asean
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang menegaskan komitmen bersama untuk memainkan peranan konstruktif dan bertanggungjawab dalam mendepani konflik di Asia Barat
Atas semangat solidariti serantau, AMK dan parti Tunas Indonesia Raya (Tidar) menyatakan sokongan teguh kepada kepimpinan kedua-dua ketua negara dalam memperkukuh kesepaduan ASEAN yang berteraskan keamanan, kestabilan, dan kesejahteraan rakyat.
Mereka menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian terbaharu dan pandangan bersama yang dinyatakan oleh kedua-dua pemimpin, terutamanya seruan untuk memperhebat usaha diplomasi, melindungi nyawa orang awam, dan mengemudi krisis ini sebagai satu blok yang bersatu.
“Kami menekankan keperluan mendesak untuk mempertingkatkan usaha diplomasi pelbagai hala bagi meredakan ketegangan, memelihara nyawa orang awam, dan menggerakkan jalan penyelesaian yang berwibawa ke arah kedamaian yang berkekalan
“Pada masa yang sama, kelangsungan rantaian bekalan global dan keselamatan laluan perdagangan strategik, termasuk Selat Hormuz, mestilah dipelihara bagi mengelakkan gangguan lanjut terhadap pasaran tenaga dunia.,” katanya.
Kenyataan tersebut dibuat bersama Ketua AMK Malaysia, Kamil Munim dan Ketua Umum Tidar, Rahayu Saraswati.
Sebagai sayap pemuda bagi PKR Malaysia dan Parti Gerindra (Indonesia), AMK dan Tidar mewakili suara pemimpin muda serta belia dari kedua-dua buah negara.
Mereka menegaskan komitmen untuk memperkasakan suara generasi baharu yang berdiri teguh demi keamanan, menolak keganasan, dan menjunjung undang-undang antarabangsa sebagai tonggak utama kepada sebarang penyelesaian yang adil dan berkekalan.
“Malaysia dan Indonesia akan terus kekal teguh memainkan peranan sebagai jambatan dialog, dan bukannya medan perpecahan, dalam mengemudi landskap geopolitik yang semakin mencabar,” ujar kenyataan itu.
BACA JUGA JP Morgan ramal Malaysia, China dapat bertahan jika Asia berdepan kejutan tenaga global