Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, NGO gesa Moratorium Akta Pekerja Gig 2025

FOTO BERITA: Sidang Media Khas Akta Pekerja GIG 2025 (Akta 872) oleh MTUC dan NGO-NGO di Wisma MTUC, 10-5, Jalan USJ 9/5T, Subang Jaya, Selangor. 30hb Mac 2026 (Isnin)

Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia hari ini menggesa kerajaan melaksanakan moratorium terhadap Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) bagi memberi ruang kepada penelitian menyeluruh sebelum pelaksanaan penuh dilakukan.

Gesaan itu dibuat dalam satu sidang media di Wisma MTUC di sini, yang turut disertai pelbagai organisasi mewakili pekerja dan pemain industri ekonomi gig, termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Gerakan Ekonomi Malaysia serta beberapa persatuan penghantar dan e-hailing dari seluruh negara.

Gabungan tersebut menyatakan bahawa walaupun usaha kerajaan memperkenalkan rangka perundangan khusus bagi sektor ekonomi gig adalah langkah positif, terdapat beberapa kelemahan kritikal yang perlu diperhalusi bagi memastikan pelaksanaannya tidak memberi kesan negatif kepada pekerja, pengguna dan industri secara keseluruhan.

Antara isu utama yang dibangkitkan ialah takrifan pekerja gig di bawah Seksyen 2 yang disifatkan terlalu umum dan berpotensi membuka ruang kepada lambakan tenaga kerja, sekali gus menekan kadar pendapatan pekerja tempatan. Selain itu, terdapat juga kebimbangan mengenai pertindihan dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang menetapkan hanya warganegara Malaysia dibenarkan terlibat dalam sektor e-hailing dan p-hailing.

Dalam pada itu, cadangan penubuhan Tribunal Pekerja Gig turut dipersoalkan dari segi kesiapsiagaan struktur, bidang kuasa dan prosedur pelaksanaannya, selain berpotensi bertindih dengan mekanisme penyelesaian pertikaian sedia ada.

Gabungan tersebut juga menyuarakan kebimbangan terhadap peranan Majlis Perundingan Gig yang dilihat sekadar badan nasihat tanpa kuasa mengikat, selain isu ketelusan pelantikan ahli yang berisiko menjejaskan kredibiliti institusi itu.

Isu lain yang diketengahkan termasuk prosedur penyahaktifan akaun yang disifatkan terlalu birokratik, hak berpersatuan yang tidak setara dengan kesatuan sekerja sedia ada, serta potensi pendedahan pekerja gig kepada beban cukai tanpa perlindungan pendapatan yang mencukupi.

Menurut gabungan itu, proses libat urus yang dijalankan juga didakwa tidak menyeluruh dan kurang telus, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap integriti pembentukan dasar yang melibatkan lebih 1.2 juta penggiat ekonomi gig di negara ini. Sehubungan itu, gabungan berkenaan mengemukakan beberapa tuntutan utama, antaranya pelaksanaan moratorium terhadap Akta 872, penubuhan platform libat urus berstruktur atau mekanisme “sandbox”, serta pelaksanaan penilaian impak menyeluruh melibatkan aspek ekonomi, sosial dan perundangan.

Mereka turut menegaskan bahawa cadangan moratorium ini bukan bertujuan menolak inisiatif kerajaan, sebaliknya bagi memastikan akta tersebut benar-benar holistik, praktikal dan berdaya tahan sebelum dilaksanakan secara menyeluruh. “Gabungan ini kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan kerajaan dan semua pemegang taruh dalam memperkukuh ekosistem ekonomi gig negara demi kepentingan bersama,” menurut kenyataan bersama itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh 11 organisasi termasuk persatuan penghantar, e-hailing serta badan ekonomi digital dari beberapa negeri, yang sepakat menuntut pendekatan lebih inklusif dan berasaskan realiti lapangan dalam merangka dasar berkaitan sektor gig.