Victor Chin antara 10 individu pernah ditahan dalam operasi Op Viking

Ahli perniagaan Victor Chin Boon Loong adalah antara 10 individu yang pernah ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram di bawah Op Viking, yang dijalankan antara 15 Oktober tahun lalu hingga 13 Januari lalu.

Ketua Pasukan, Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fazlisyam Abdul Majid, berkata mereka ditahan pada Disember tahun lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kami tidak menolak kemungkinan untuk memanggil semula beliau bagi merakam percakapan.

“Perkara itu bergantung kepada sebarang bukti baharu yang memerlukan penjelasan lanjut.

“Sebarang panggilan semula akan dilakukan mengikut prosedur standard,” kata beliau pada sidang media hari ini.

Terdahulu, dilaporkan, jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai termasuk mata wang asing serta dua buah kereta disita dalam serbuan ke atas beberapa premis yang dikaitkan dengan Chin.

Dalam masa sama, polis turut melancarkan siasatan terhadap dakwaan kewujudan “mafia korporat” yang dikaitkan dengan Chin, dengan beberapa premis sudah pun diserbu.

Sebelum ini, Chin yang merupakan bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) NexG Bhd (NexG) mendakwa seorang ahli parlimen PKR meminta bayaran RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu manipulasi korporat.

Chin memberi tempoh sehingga hari ini kepada ahli politik itu untuk memulangkan wang RM9.5 juta yang didakwa telah dibayar, dengan amaran bahawa namanya akan didedahkan jika gagal berbuat demikian.

BACA JUGA Ketika kerajaan minta jimat guna minyak, Pas anjur Konvoi Bersama 4 MB