Kes pemandu mabuk: AMANAH syor hukuman sebat, batal lesen serta-merta
Parti Amanah Negara (AMANAH) mencadangkan hukuman sebat diperkenalkan sebagai tambahan kepada hukuman sedia ada terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian, susulan insiden tragis yang meragut nyawa seorang mangsa semalam.
Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang maut dalam kemalangan jalan raya dipercayai akibat dilanggar pemandu di bawah pengaruh alkohol.
Menurut beliau, selain kehilangan nyawa, kejadian seumpama itu turut memberi beban besar kepada keluarga mangsa.
Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan memperkenalkan mekanisme baharu bagi memastikan pampasan setimpal dapat dibayar segera oleh pesalah atau keluarga mereka.
“Pampasan itu perlu disegerakan, selain gantirugi insurans sedia ada, bagi meringankan beban keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, AMANAH turut mencadangkan agar lesen memandu individu yang ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dibatalkan serta-merta, selain hukuman lebih berat dikenakan melalui pindaan kepada Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“AMANAH menegaskan bahawa kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk masih berlaku walaupun kerajaan telah meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan hukuman lebih berat.
“Ini adalah kerana walaupun hukuman penjara telah ditambah kepada 10 tahun hingga 15 tahun bagi kesakahan pertama dan 15 tahun hingga 20 tahun bagi kesalahan kedua sepertimana peruntukan seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, ia tidak mencukupi bagi mencegah kesalahan ini berdasarkan kepada kes yang masih berleluasa,” tegas beliau.
Kawalan penjualan
Justeru, AMANAH, Faiz mencadangkan hukuman sebat ditambah kepada hukuman sedia ada penjara dan denda.
“Hukuman sebat biasanya dikenakan ke atas kesalahan jenayah serius seperti rogol, rompak dan dadah oleh itu sudah sampai masa kerajaan menganggap kesalahan kematian akibat pemandu mabuk juga satu kesalahan jenayah serius,” katanya.
Selain itu, Faiz turut menggesa kerajaan memperketat kawalan penjualan minuman beralkohol, termasuk menghadkan kategori pembeli dan lokasi jualan.
Katanya, larangan penjualan atau penyediaan alkohol di tempat terbuka perlu diperkukuh, manakala premis yang menjual minuman tersebut juga perlu bertanggungjawab memastikan pelanggan tidak memandu selepas mengambil alkohol.
“Premis jualan boleh dikenakan satu kesalahan sekiranya menjual atau menyediakan minuman beralkohol kepada mereka yang memandu sendiri,” tegas Faiz lagi.
Semalam, penunggang motosikal, Amirul Hafiz Omar, 33, maut dalam nahas tragis di Jalan Raya Barat, Klang selepas dirempuh kereta dipandu pemuda yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang tersebar di media sosial, mangsa dilihat melambung tinggi dan berpusing beberapa kali di udara sebelum terhempas di atas kereta Myvi.
Allahyarham yang berasal dari Kampung Repoh, Batu Kurau, Perak meninggalkan seorang balu, Nor Nadia Abdul Majid (32), serta tiga anak iaitu Mohd Aqif Hamsyar (9), Mohd Afif Izz Ryqal (7) dan Nur Humaira (2 tahun 5 bulan).
BACA JUGA Pemandu mabuk bakal wajib bayar ganti rugi selain dipenjara