Mat Sabu sertai mesyuarat MTEN, kecukupan bekalan makanan negara jadi keutamaan
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini menyertai Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohamad berkata, mesyuarat kali ini cukup penting, mengambil kira situasi krisis yang sedang berlaku di Asia Barat yang boleh memberi kesan kepada ekonomi dan rantaian bekalan makanan global.
“Fokus utama kita adalah untuk melihat kedudukan semasa bekalan makanan negara, menilai tahap keterjaminan makanan, serta mengenal pasti langkah-langkah mitigasi yang perlu diperkukuh dari semasa ke semasa.
“Bang Mat dan pasukan di Kementerian akan terus teliti setiap perkara dengan serius, dan kita komited untuk memuktamadkan tindakan susulan yang praktikal demi memastikan bekalan makanan negara kekal stabil dan mencukupi untuk rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Mohamad berkata, kementeriannya akan terus bekerja keras supaya rakyat tidak terkesan dan bekalan makanan negara kekal terjamin.
BACA JUGA Duta besar Iran sahkan kapal Malaysia tidak akan dikenakan caj tol lalu Selat Hormuz