Agong puji langkah berhemah kerajaan hadapi cabaran global

KDYMM Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim menzahirkan pandangan bahawa pendekatan berhemah dalam pengurusan kewangan negara adalah penting bagi memastikan ketahanan ekonomi Malaysia terus kukuh dalam mendepani cabaran global.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika dipersembahkan taklimat mengenai perkembangan semasa ekonomi dan keselamatan negara, termasuk isu kos sara hidup serta langkah-langkah kerajaan dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi.

Taklimat berkenaan turut menyentuh usaha kerajaan dalam menangani tekanan kos sara hidup rakyat yang semakin mencabar, selain memastikan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara.

Dalam aspek keselamatan pula, Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan perkembangan berkaitan keselamatan dalam negeri, kawalan sempadan serta tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan negara.

Baginda turut mengambil maklum langkah penjimatan perbelanjaan yang sedang dilaksanakan kerajaan bagi memperkukuh kedudukan fiskal negara dalam jangka masa panjang.

Selain itu, taklimat berkenaan turut menyentuh pendekatan disiplin fiskal dan pengurusan perbelanjaan secara berhemah dilihat sebagai antara keutamaan dalam memastikan kelestarian kewangan negara.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan keprihatinan terhadap keperluan negara untuk sentiasa bersedia menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang boleh memberi kesan kepada pertumbuhan domestik.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi sesi perbincangan berkaitan perkembangan semasa pentadbiran negara.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Raja Nushirwan Zainal Abidin yang memberi penerangan berkaitan aspek keselamatan negara.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik yang berkongsi perkembangan sektor tenaga negara.

Sesi taklimat di Istana Bukit Tunku itu mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap usaha memperkukuh asas ekonomi, keselamatan serta kesejahteraan rakyat.