Tangguh dulu himpunan kelab motosikal, kata pensyarah

Aktiviti sosial termasuk himpunan kelab motosikal dan konvoi kenderaan disaran ditangguhkan sementara bagi membantu negara berdepan tekanan krisis tenaga global yang semakin mencabar, kata seorang pensyarah.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata langkah itu antara pendekatan berhemah yang boleh diambil masyarakat dalam usaha mengurangkan penggunaan tenaga tidak perlu ketika krisis bekalan minyak global.

Beliau berkata krisis semasa bukan sekadar melibatkan kenaikan harga minyak, sebaliknya turut membabitkan risiko gangguan bekalan di beberapa negara.

“Perang sekarang bukan hanya tentang harga minyak melambung, tetapi kekurangan bekalan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, terdapat negara yang sudah mula mencatu jualan minyak, malah ada yang menutup sebahagian stesen minyak akibat tekanan bekalan yang semakin meruncing.

Beliau turut mendakwa ada negara yang berdepan situasi stok simpanan semakin berkurangan dan berisiko kehabisan jika konflik berlarutan.

Dalam konteks Malaysia, beliau menyifatkan keadaan masih terkawal dengan negara memiliki stok simpanan untuk tempoh kira-kira satu hingga dua bulan.

Katanya, kerajaan juga sedang berusaha mempelbagaikan sumber bekalan tenaga termasuk dari Kanada, Brazil, Suriname serta rantau Teluk.

Beliau turut menyatakan perkembangan semasa melibatkan Iran dilihat memberi sedikit ruang positif kepada kestabilan bekalan dari kawasan berkenaan.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa kewujudan bekalan tidak semestinya menjamin harga minyak akan kekal rendah dalam keadaan krisis global yang berterusan.

“Dalam krisis sebegini, ada bekalan pun sudah cukup baik berbanding negara lain yang sedang bergelut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat mengubah gaya hidup sementara dengan menjimatkan penggunaan tenaga termasuk mengurangkan pergerakan tidak penting.

Antara cadangan lain termasuk melaksanakan kerja dari rumah, memperluas mesyuarat dalam talian serta menangguhkan aktiviti yang melibatkan pergerakan beramai-ramai.

Beliau turut menegaskan bahawa krisis tenaga ini memerlukan pendekatan pendidikan masyarakat secara berterusan agar rakyat lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan global.

“Bukan berpolitik sepanjang masa, sebaliknya perlu dididik masyarakat supaya lebih berdaya tahan,” katanya.