Penerbangan pertama Air Asia perkenal baju bertudung pramugarinya
Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Tony Fernandes memperkenalkan pakaian pramugari wanitanya yang bertudung sebagaimana yang diumumkan sebelum ini.
“Penerbangan pertama dengan kru beruniform baru. Apa yang perlu dilihat adalah bukan rupanya tetapi orangnya. Bangga membenarkan manusia dengan jatidiri mereka,” tulis Fernandes menerusi facebook beliau semalam.
Kalau sebelum ini, pakaian kru wanita bertudung ini hanya boleh dilihat menerusi modelnya sahaja tetapi mulai semalam ia dilaksanakan dalam penerbangan.
Pada 5 Disember 2025, AirAsia mengumumkan pembaharuan dalam polisi pakaian seragam kru kabin, yang membolehkan kru wanita mempunyai pilihan untuk memakai hijab semasa bertugas.
Ini selaras dengan budaya AirAsia dan evolusi yang berterusan yang dibentuk oleh maklum balas daripada semua.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam, berkata beliau berasa bangga kerana pembaharuan terkini ini memacu pertumbuhan dan pengembangan AirAsia sebagai syarikat penerbangan global dengan tenaga kerja yang pelbagai yang membuktikan komuniti dan budaya yang dihubungkan setiap hari.
“Seragam kami sentiasa mencerminkan profesionalisme, keselamatan dan keselesaan dan evolusi ini membina asas tersebut dengan memberikan keyakinan kepada kakitangan kami selaras dengan kepercayaan mereka,” katanya.
Kru kabin AirAsia sebelum ini telah menggunakan hijab sebagai sebahagian daripada operasi di beberapa laluan terpilih, seperti Jeddah di mana ia diwajibkan oleh peraturan tempatan.
Pembaharuan terkini ini memperluaskan fleksibiliti itu kepada semua kru kabin wanita yang memilih untuk memakainya, memastikan keseragaman di seluruh rangkaian syarikat penerbangan dengan mengekalkan identiti jenama AirAsia yang profesional.
Pada hujung 2024, syarikat penerbangan Malaysia, MAS telah membenarkan kru wanitanya memakai tudung. Tahun 2026 ini, Air Asia pula membenarkan krunya memakai tudung.
Mantan Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Ustaz Syamsul Firdaus Mohamed Supri pernah berkata, langkah yang diambil oleh Kerajaan Madani itu merupakan sesuatu yang berhikmah berbanding Pas yang sering membuat heboh mengenai perjuangan Islam mereka namun tidak berdaya melakukannya pada waktu parti itu berada dalam Kerajaan Persekutuan dari 2020 hingga 2022.
”Saya teringat satu ketika dahulu, bekas Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (daripada Pas) mempertikaikan dalam Parlimen bahawa pakaian pramugari sebagai sesuatu yang tidak diambil serius oleh pihak kerajaan.
”Kemudian apabila berlaku langkah ‘tebuk atap’ oleh Perikatan Nasional (PN) dan Pas menjadi kerajaan, mereka tidak pula cuba perjuangkan perkara tersebut.
”Tapi apabila era Kerajaan MADANI selepas Pilihan Raya Umum 15, kita kembali berusaha merealisasikan hasrat (pemakaian tudung) berkenaan,” katanya ketika dihubungi, lapor Suara Keadilan.
BACA JUGA Pemain industri ruminan berkumpul merancang untuk perkuat industri makanan