Ada orang marah Iran baik sangat
Oleh NIK HASYUDEEN
Jika anda seorang pemerhati yang adil anda akan dapati bahawa setiap kali Iran nak menyerang, ia akan memberi amaran dahulu dan memberikan masa supaya orang-orang di sekitar sasaran Iran boleh beredar jauh. Kemudian barulah misil dan dron dilancarkan.
Fokus Iran ialah infrastruktur yang digunakan untuk menyerangnya serta membalas serangan yang dibuat oleh Amerika-Israel ke atas infrastruktur ekonomi dan awamnya. Sebaliknya, Iran tidak meniru Israel di dalam mengebom sekolah, hospital serta wartawan-wartawan yang melaporkan perang.
Semalam beberapa universiti di Iran dibom. Lalu mereka menguarkan amaran kepada kesemua universiti di Israel dan Teluk bahawa mereka akan dijadikan sasaran. Di samping itu jalan untuk menurunkan suhu digariskan juga. Iran tidak gila nak memusnahkan harta benda tanpa alasan.
Bagi orang yang ada asas agama dan faham berkenaan adab-adab perang, mereka akan nampak bahawa walaupun diserang teruk, Iran tidak mengabaikan tanggungjawab mengikuti adab-adab berkenaan. Mengapa Iran tidak ada senjata nuklear? Ini adalah kerana ada fatwa dari Khamenei yang memegang prinsip senjata nuklear tidak selari dengan Islam.
Pendekatan Iran ini menyebabkan ada orang marah kerana ianya dianggap lembut. Mereka mahu Iran bergelagat macam Amerika-Israel juga. Sudah tentu Iran yang mempunyai tamadun ribuan tahun itu akan tetap memegang prinsip-prinsipnya.
Walau bagaimana pun, jika peperangan ini dilihat dengan menggunakan lensa perbalahan Sunni-Syiah, pendekatan Iran di dalam menyerang ini mungkin akan tertutup oleh emosi perbalahan yang tak akan padam itu.
Di dalam kumpulan whatsapp Wattop, ada seorang yang begitu kuat semangatnya untuk melihat Perang Iran ini di dalam konteks Sunni-Syiah. Dikeluarkan pelbagai hujah termasuk apa yang berlaku di Syria.
Walau apa pun pegangan kita, kita tidak boleh menafikan bahawa di kalangan ulama silam pun ada ketika di mana pandangan mereka dipengaruhi oleh situasi di sekeliling mereka yang menyebabkan kadang-kadang mereka terkeluar dari lorong hujah yang tidak emosional.
Saya mengikuti perbincangan ramai pemerhati Barat yang nampak kecermatan Iran di dalam menyerang. Mereka mengaitkan ini dengan pegangan golongan Syiah walaupun sebenarnya ini adalah ajaran Rasulullah SAW. Di mata mereka Sunni diwakili oleh kumpulan seperti ISIS termasuk orang yang menjadi ketua di Syria di ketika ini. Berapa kali dia bertukar organisasi dan nama sebelum sampai ke jawatan sekarang?
Elok sekiranyanya ada pihak yang berotoriti yang menjelaskan bahawa Islam adalah agama yang beradab dan berprinsip dan lebih bertamadun dari Barat. Namun, orang-orang kita sendiri yang berperangai dengan perangai yang menyebabkan orang bukan Islam tidak dapat membezakan di antara kita dan mereka.
Orang tua-tua kita pun ada mengingatkan kita berkenaan “ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul”. Orang tak peduli apa yang kita laung dan hujah, mereka lihat perangai dan tingkah laku kita.
Adakah semua tindakan yang kita buat setiap hari melambangkan nilai-nilai agama kita yang mulia itu?
BACA JUGA Penutupan laluan kapal: Sekarang 20%, kalau 32% macamana?