Kerajaan nafi dakwaan campur tangan siasatan isu saham Azam Baki
Kerajaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Perdana Menteri campur tangan dalam siasatan berhubung pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Pejabat Ketua Setiausaha Negara dalam satu kenyataan media memaklumkan dakwaan yang dilaporkan oleh Bloomberg pada 30 Mac 2026 adalah tidak berasas, termasuk tuduhan kononnya Perdana Menteri meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan kes berkenaan.
Menurut kenyataan itu, prosiding siasatan telah pun dimulakan selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu, dan dilaksanakan mengikut peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Proses ini mempunyai tatacara yang jelas dan perlu dipatuhi sepenuhnya. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, kerajaan turut memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan susulan terhadap laporan oleh Bloomberg yang didakwa mengandungi maklumat tidak tepat.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.