Bekalan beras, ayam, sayur cukup hingga empat bulan

Bekalan makanan asas negara termasuk beras, ayam dan sayur-sayuran dijangka mencukupi untuk tempoh antara tiga hingga empat bulan akan datang, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan semasa, terdapat juga lebihan bekalan bagi beberapa sektor seperti beras, ayam, telur dan sebahagian sayur-sayuran, sekali gus menunjukkan tahap keterjaminan makanan negara masih stabil dalam jangka pendek.

“Alhamdulillah, bekalan makanan negara kita masih mencukupi untuk tiga hingga empat bulan ke hadapan,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasmi beliau malam tadi.

Mohamad berkata demikian dalam program Bicara Naratif yang membincangkan strategi Malaysia menghadapi krisis sekuriti makanan.

Namun begitu, beliau mengakui terdapat sektor tertentu yang lebih sensitif, khususnya perikanan, di mana bekalan ikan hanya mampu bertahan sekitar sebulan sekiranya berlaku gangguan besar.

Menurutnya, situasi itu menunjukkan negara berada dalam keadaan stabil untuk jangka pendek, namun memerlukan usaha berterusan bagi memperkukuh daya tahan bekalan makanan dalam jangka panjang.

“Kesan krisis global pula tidak berlaku serta-merta, tetapi akan dirasai dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

“Kenaikan harga minyak akan memberi kesan kepada kos baja, logistik, makanan ternakan dan operasi nelayan, yang akhirnya memberi tekanan kepada harga makanan,” jelasnya.

Tidak panik

Sehubungan itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja mengingatkan agar orang ramai tidak panik sebaliknya bersedia secara bijak.

“Beli ikut keperluan, elakkan pembaziran dan jaga kepentingan bersama,” nasihatnya.

Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan bahawa kerajaan sedang memperkukuhkan pengeluaran dalam negara, termasuk mengurangkan kebergantungan import, membangunkan sektor pertanian dan akuakultur serta menggalakkan rakyat bercucuk tanam.

Tegasnya, Malaysia perlu melakukan pendekatan yang seimbang dengan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada import tetapi dalam masa sama tidak boleh menutup pintu perdagangan.

“Keterjaminan makanan bukan sekadar soal hari ini, tetapi soal masa depan negara dan generasi akan datang.

“Kita jaga perbelanjaan, elak pembaziran, dan sama-sama bina kekuatan rakyat Malaysia!” kata Mohamad lagi.

BACA JUGA Tidak bijak guna dana awam sambut raya – Mufti Perlis