Pemuda mabuk dituduh bunuh Amirul Hafiz

Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang, hari ini atas tuduhan membunuh penunggang motosikal, Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat, 29 Mac lalu.

R Saktygaanapathy, 28, sebelum ini ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk faham selepas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian mangsa dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret A Karthiyayini.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Saktygaanapathy didakwa melakukan bunuh dengan mengakibatkan kematian kepada Amirul Hafiz kira-kira jam 11.47 pagi pada Ahad lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun.

Jika tertuduh tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Selain itu, Saktygaanapathy turut didakwa memberikan dadah jenis benzo dan tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan sendiri di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, jam 3.30 petang, pada hari sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen dan Akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun.

Bagi pertuduhan itu, Saktygaanapathy mengaku bersalah namun tiada ikan jamin ditawarkan kerana lelaki berkenaan turut berdepan kes bunuh.

Kes yang mengundang kemarahan orang ramai itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya,Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.

BACA JUGA MP DAP janji bantu keluarga mangsa, sokong tindakan tegas terhadap pemandu mabuk