Danial cadang pinda undang-undang lindung nasib keluarga mangsa kemalangan
ADUN Batu Tiga, Danial Al-Rashid memohon kerajaan agar mempertimbang secara serius implikasi setiap kes kemalangan terhadap keluarga mangsa, tidak kira sama ada ia berpunca daripada kecuaian mahupun pengaruh dadah dan alkohol.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda AMANAH berkata, ramai dalam kalangan mangsa kehilangan sumber pendapatan utama, sekali gus berdepan tekanan kehidupan yang mendadak.
Atas sebab itu, beliau mencadangkan agar satu kajian khas dilaksanakan termasuk menilai keperluan pindaan terhadap undang-undang sedia ada yang telah lama tidak dikemaskini.
“Ini supaya ia lebih relevan dengan realiti semasa dan mampu memberikan perlindungan yang lebih menyeluruh kepada mangsa serta keluarga mereka.
“Saya berharap keadilan dapat ditegakkan, dan dalam masa yang sama, kebajikan keluarga mangsa terus diberi perhatian sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa pihaknya menghormati segala proses undang-undang yang telah ditetapkan, dan menyerahkan kepada pihak berkuasa serta institusi kehakiman untuk menentukan keadilan.
Namun katanya, perhatian yang sama penting harus diberikan kepada nasib keluarga mangsa khususnya balu dan anak-anak yang kehilangan tempat bergantung.
Ini kerana kata beliau, kesan daripada tragedi sebegini bukan sahaja bersifat serta-merta, tetapi berpanjangan dari segi emosi, sosial dan ekonomi.