NAFAZ dilancar di KLCC, sasar revolusikan industri perkahwinan mewah Malaysia

FOTO BERITA: Majlis Glam Raya Nafaz X Nona & Pelancaran NAFAZ bersama Aishah Radhiah Adanan CEO Nafaz di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. 1hb April 2026 (Rabu)

Jenama perkahwinan dan pengalaman eksklusif terbaharu negara, NAFAZ, dilancarkan secara rasmi dalam satu sidang media oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aishah Radhiah Adanan, sempena Majlis Glam Raya Nafaz X Nona di Menara Berkembar Petronas, hari ini.

Pelancaran tersebut menandakan kemunculan satu era baharu dalam segmen gaya hidup mewah, dengan NAFAZ membawa misi untuk mentakrif semula cara sambutan, pengalaman serta penceritaan direka — khusus untuk golongan yang menginginkan kelainan dan eksklusiviti.

Menurut Aishah Radhiah, NAFAZ dibangunkan sebagai jenama premium yang menggabungkan elemen seni, akses istimewa dan sentuhan peribadi dalam setiap pengalaman yang ditawarkan.

“NAFAZ direka untuk mereka yang tidak mahu sekadar biasa. Kami bukan sekadar mencipta acara, tetapi mencipta detik yang membentuk legasi,” katanya dalam sidang media tersebut.

Sebagai sebuah ekosistem mewah pelbagai bahagian, NAFAZ memperkenalkan lima komponen utama iaitu NAFAZ Majlis, NAFAZ Experience, NAFAZ Studio, NAFAZ Creative dan NAFAZ Sirah yang merangkumi perkhidmatan daripada perkahwinan berskala besar hingga pengalaman spiritual serta produksi visual

Antara tarikan utama yang diketengahkan ialah penawaran pengalaman perkahwinan eksklusif di lokasi ikonik sekitar Kuala Lumpur, termasuk akses peribadi ke venue berprestij yang jarang dibuka untuk majlis.

Berbeza dengan syarikat perancang acara konvensional, NAFAZ memposisikan diri sebagai kurator kemewahan dengan menggabungkan reka bentuk, penceritaan serta akses elit bagi menghasilkan pengalaman yang unik dan berimpak tinggi.

Pelancaran tersebut turut mendapat perhatian pelbagai pihak industri berikutan pendekatan berani NAFAZ dalam mengangkat standard perkahwinan dan gaya hidup Malaysia ke peringkat global.

Dengan fokus terhadap eksklusiviti, ketersediaan terhad serta personalisasi menyeluruh, NAFAZ menyasarkan untuk menjadi peneraju utama dalam segmen sambutan mewah di rantau Asia Tenggara.