96 berita palsu harga minyak, minta rakyat semak dahulu sumber – Anwar

Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(MCMC) diminta mengambil tindakan segera termasuk menyekat kandungan berita palsu berkaitan harga minyak dan elektrik yang disebarkan di media sosial.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,sebanyak 96 kandungan berita palsu dikesan oleh MCMC setakat ini, dipercayai berkait dengan impak rantaian konflik di Asia Barat yang turut memberi kesan kepada sentimen ekonomi global.

“Kita bekerja dalam keadaan luar biasa dengan cabaran yang meningkat tetapi ini tidak mungkin memadamkan karenah orang terus berdusta, membenci, sabotaj dan khianat,” katanya dalam taklimat ringkas.

Beliau berkata penyebaran maklumat tidak sahih itu boleh menjejaskan keyakinan rakyat serta mengganggu kestabilan negara ketika kerajaan berdepan tekanan akibat perkembangan geopolitik antarabangsa.

Anwar turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang didakwa menyebarkan naratif tidak benar berkaitan kenaikan harga barang dan tenaga.

“Tujuan apa (penyebaran berita palsu)? Rakyat susah, negara tercabar, tetapi ada yang memilih untuk menghebahkan cerita palsu,” katanya.

Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja boleh mengelirukan orang ramai tetapi juga disifatkan sebagai usaha meraih keuntungan politik sempit.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan semua pihak termasuk rakyat untuk lebih berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan maklumat di media sosial.

“Semak dengan rapi dan ambil langkah untuk menyelamatkan keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Ketegangan di Asia Barat dilaporkan terus mempengaruhi pasaran tenaga global, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi tidak tepat di platform digital.

Anwar dalam masa sama menyeru rakyat agar bertenang dan mengutamakan fakta dalam menilai perkembangan semasa.