Loji WtE Sungai Udang dilancar, kerajaan sasar kurangkan kebergantungan tenaga global
Majlis pecah tanah projek Loji Waste-to-Energy (WtE) Sungai Udang di Melaka bernilai RM660 juta dilaksanakan hari ini, dilihat sebagai sebahagian usaha kerajaan memperkukuh agenda tenaga boleh baharu negara.
Majlis itu disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Menurut Nga, projek berkenaan bukan sahaja meningkatkan keupayaan pengurusan sisa pepejal, malah berpotensi mengurangkan kebergantungan negara terhadap sumber tenaga luar dalam berdepan ketidaktentuan global.
Beliau merujuk ketegangan geopolitik melibatkan Amerika Syarikat dan Iran yang memberi kesan kepada laluan strategik Selat Hormuz.
“Selat ini mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas dunia. Sebarang gangguan akan memberi kesan rantaian besar kepada pasaran tenaga antarabangsa,” katanya.
Projek yang dijangka siap sepenuhnya pada 2029 itu akan dibangunkan di atas kawasan seluas 9.8 ekar dengan tempoh konsesi selama 34 tahun termasuk tiga tahun pembinaan.
Loji berkenaan mampu memproses sehingga 1,000 tan sisa pepejal setiap hari serta menjana kira-kira 22 megawatt tenaga elektrik.
Kerajaan melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara turut merancang pembinaan 18 loji WtE di seluruh negara, yang diunjurkan menjana sehingga 600 megawatt tenaga boleh baharu menjelang 2040.
Menurut Nga, inisiatif itu selari dengan sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050.
“Ini mencerminkan komitmen kerajaan MADANI untuk mentransformasikan pengurusan sisa pepejal ke arah pendekatan lebih mampan dan berteraskan teknologi hijau,” katanya.
Selain itu, teknologi WtE dijangka mampu mengurangkan sehingga 85 peratus sisa pepejal ke tapak pelupusan, manakala baki 15 peratus boleh dimanfaatkan semula melalui pendekatan ekonomi kitaran.
Projek ini juga diunjurkan mengurangkan lebih 259,000 tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun, bersamaan kira-kira 56,000 kenderaan di jalan raya.
Sementara itu, Ab Rauf berkata projek berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh penggunaan teknologi hijau ke arah pembangunan Melaka yang lebih bersih dan mampan.
Projek itu dibangunkan menerusi model Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dengan Malakoff Corporation Berhad sebagai pelabur strategik utama.
Dalam tempoh interim sebelum loji siap, kerajaan turut melaksanakan pembinaan sel baharu di tapak pelupusan Sungai Udang dengan kos RM48.5 juta bagi memastikan pengurusan sisa pepejal terus berjalan lancar.