Dari ‘projek sakit’ ke kunci rumah: Ini kisah 34 projek PR1MA dipulihkan

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan kejayaan menyelesaikan kesemua 34 projek sakit di bawah portfolio Perbadanan PR1MA Malaysia, sekali gus memberi manfaat kepada 22,925 pembeli rumah di seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata kejayaan itu dicapai hasil kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta pelbagai pihak berkepentingan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Klebang 2 dan Residensi Bukit Katil di Melaka, yang turut menyaksikan simbolik penyerahan kunci kepada 20 pembeli rumah.

Menurut beliau, kedua-dua projek berkenaan sebelum ini berdepan kelewatan akibat pandemik COVID-19 yang menjejaskan rantaian bekalan bahan binaan, peningkatan kos pembinaan serta kekurangan tenaga kerja.

Residensi Klebang 2 dan Residensi Bukit Katil masing-masing melibatkan 800 dan 407 unit apartmen yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kolam renang, dewan serbaguna, surau, taska, tadika serta kawasan rekreasi.

Unit kediaman itu ditawarkan pada harga bermula sekitar RM180,000 dan masih dibuka untuk jualan.

Nga berkata kerajaan kini memberi tumpuan kepada Reformasi Perumahan MADANI bagi memastikan isu projek sakit tidak berulang melalui penambahbaikan sistem penyampaian projek perumahan.

Mengikut jadual

Antara langkah yang diambil termasuk pengukuhan ketelusan dan akauntabiliti, penggunaan teknologi pembinaan moden serta pendigitalan sistem bagi mengurangkan risiko kelewatan projek.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual dan dengan kualiti yang lebih konsisten demi kepentingan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh berkata kejayaan tersebut mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memastikan projek perumahan rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PR1MA, Ts. Brian Iskandar Zulkarim pula berkata penyiapan Residensi Bukit Katil menandakan tiada lagi projek sakit dalam portfolio PR1MA ketika ini.

Beliau berkata PR1MA akan terus memastikan setiap projek baharu dirancang dan dilaksanakan mengikut standard tinggi serta disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Sebagai langkah tambahan, kerajaan turut merancang audit ke atas Akaun Pemaju Perumahan (HDA) bagi meningkatkan ketelusan pengurusan dana serta mengelakkan salah guna.

Selain itu, bakal pembeli juga boleh menyemak senarai hitam pemaju melalui platform TEDUH yang disediakan kerajaan.

PR1MA kini merancang pembangunan lebih 4,351 unit kediaman baharu di seluruh negara dengan penekanan kepada konsep perumahan mampan dan keperluan gaya hidup semasa selaras agenda Kerajaan MADANI.

BACA JUGA Kerja dari rumah jauh lebih baik dari berkonvoi musim kritikal ini