Krisis Timur Tengah ‘gegar’ Selangor? 200,000 pekerja berisiko jika rantaian bekalan terganggu
ADUN Batu Tiga, Danial Al-Rashid, menyuarakan kebimbangan terhadap potensi impak krisis geopolitik krisis di Timur Tengah ke atas ekonomi Selangor, khususnya sektor pembuatan yang menjadi nadi Utama negeri itu.
Beliau berkata, langkah Kerajaan Negeri Selangor mengadakan Sidang Meja Bulat Khas MMKN bagi membincangkan kesan konflik melibatkan Amerika Syarikat (AS) – Israel dan Iran adalah tepat dan bersifat proaktif.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu berkata, sebagai negeri yang menyumbang 26.2 peratus kepada KDNK negara, sebarang gangguan terhadap Selangor akan memberi kesan langsung kepada keseluruhan ekonomi Malaysia.
“Langkah kesiapsiagaan yang dirangka ini amat penting bagi memastikan kestabilan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Danial menjelaskan bahawa gangguan bekalan bahan bakar global telah mula memberi kesan kepada beberapa negara serantau, dengan Thailand antara yang terawal terjejas.
Tidak terputus
Bagaimanapun, beliau memaklumkan Malaysia setakat ini berjaya menstabilkan bekalan selepas rundingan membolehkan kapal bekalan melepasi Selat Hormuz, sekali gus memastikan bekalan tempatan tidak terputus seperti yang dibimbangi sebelum ini.
Dalam masa sama, beliau memberi amaran bahawa isu rantaian bekalan, khususnya dalam sektor pemprosesan dan pembuatan di kawasan industri seperti Shah Alam, boleh membawa kesan besar jika tidak ditangani segera.
“Sekiranya isu bekalan ini tidak ditangani dengan berkesan, kesan jangka panjangnya boleh membawa kepada gangguan operasi industri, pengurangan kapasiti pengeluaran serta pemberhentian pekerja yang memberi kesan langsung kepada rakyat,” ujarnya.
Menurut anggaran, antara 700,000 hingga 1 juta pekerja di Selangor bergantung kepada sektor pembuatan.
Jika, hanya 10 hingga 20 peratus operasi terjejas, jelasnya, kira-kira 100,000 hingga 200,000 pekerja boleh terkesan secara langsung dan tidak langsung.
Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan penubuhan pasukan petugas khas bagi memantau situasi serta merangka langkah intervensi yang bersesuaian.
Beliau turut menggesa agar pengurusan bekalan bahan bakar diperkukuh secara strategik, sokongan khusus diberikan kepada sektor industri, serta langkah mitigasi awal dilaksanakan bagi melindungi pekerjaan rakyat.
Mengimbas pengalaman lalu, Danial berkata Selangor telah berjaya mengharungi pelbagai krisis termasuk pandemik Covid-19, banjir besar 2021 dan insiden letupan paip gas, hasil kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat.
“Keutamaan kita jelas adalah melindungi rakyat, memastikan kelangsungan industri, dan mengekalkan kestabilan ekonomi negeri,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Krisis tenaga dunia: Malaysia masih tenang, negara lain dah huru-hara