Kerja dari rumah jauh lebih baik dari berkonvoi musim kritikal ini

Dasar bekerja dari rumah (BDR) mulai 15 April ini membabitkan kementerian, agensi serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan adalah lebih baik berbanding penganjuran konvoi kenderaan ketika krisis Timur Tengah masih meruncing.

Pensyarah dan penganalisis, Dr Mohd Yusri Ibrahim, berkata polisi itu merupakan inisiatif baik kerajaan sebagai langkah berjaga-jaga dan menjimatkan penggunaan tenaga dalam krisis yang tidak menentu Ketika ini.

“(Polisi BDR) jauh lebih baik berbanding yang tidak sensitif menganjurkan konvoi kenderaan musim-musim kritikal begini,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Pas menganjurkan ‘Konvoi Bersama 4 MB’ pada pagi 4 April depan dengan pelepasan konvoi bertempat di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Penganjuran itu mendapat kecaman banyak pihak memandangkan Kerajaan Persekutuan dalam usaha penjimatan susulan perang membabitkan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran masih belum reda.

Mengulas tindakan pihak yang menyerang polisi BDR seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, Dr Yusri berkata, keputusan itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana beliau sendiri beberapa hari lalu telah mengutarakan idea kerja dari rumah sebagai langkah penjimatan tenaga.

“Kerja dari rumah bukan bermaksud semua jabatan kerajaan atau semua penjawat awam akan bekerja dari rumah.

“Ia bergantung kepada kesesuaian fungsi jabatan dan skop tugas,” katanya.

Sektor kritikal

Beliau menjelaskan, sektor kritikal seperti kesihatan dan keselamatan akan terus beroperasi seperti biasa di premis masing-masing.

“Doktor dan jururawat akan kekal di hospital dan klinik, manakala pengawal keselamatan tetap menjalankan tugas di lokasi yang ditetapkan. Ini akan diperincikan melalui pekeliling rasmi nanti,” ujarnya.

Dr Yusri turut menempelak tanggapan kononnya BDR akan menjejaskan prestasi kerja sebagai tidak berasas.

“Jika ada segelintir yang tidak berprestasi, itu isu individu, bukan sistem.

“Sama ada di pejabat atau di rumah, prestasi bergantung kepada integriti dan pemantauan,” katanya.

Ahli akademik berkenaan turut memberi contoh pengalaman semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di mana sektor akademik menunjukkan peningkatan ketara dalam penerbitan penyelidikan walaupun BDR.

“Dengan pemantauan dan penyeliaan yang berkesan, tidak timbul isu prestasi. Malah ada sektor yang lebih produktif,” tambahnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan BDR perlu dilaksanakan secara bersasar, hanya melibatkan jabatan, tugas dan kakitangan yang sesuai.

BACA JUGA Krisis Timur Tengah ‘gegar’ Selangor? 200,000 pekerja berisiko jika rantaian bekalan terganggu