Kerja dari rumah 3 hari seminggu: Ini fakta rakyat wajib tahu
Pegawai sektor awam di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor serta semua ibu negeri dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) selama tiga hari dalam seminggu.
Kelonggaran tersebut terpakai kepada mereka yang mempunyai jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi lapan kilometer.
Menerusi surat edaran pelaksanaan BDR yang disiarkan hari ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz memaklumkan pelaksanaan BDR itu susulan konflik Asia Barat itu, berkuat kuasa mulai 15 April ini.
Pelaksanaan BDR juga berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR4.1.2: Dasar BDR yang memperuntukkan dasar, syarat dan peraturan BDR.
Walau bagaimanapun, tiga sektor dikecualikan daripada pelaksanaan BDR iaitu keselamatan dan pertahanan, kesihatan serta pendidikan.
Mengikut maklumat dalam surat edaran itu, bagi negeri dengan Ahad merupakan hari kelepasan mingguan, BDR ditetapkan Selasa hingga Khamis secara sepenuh hari.
Sementara itu, bagi negeri dengan hari kelepasan mingguan Jumaat iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu pula, BDR adalah secara sepenuh hari pada Isnin hingga Rabu.
Dalam masa sama, dimaklumkan bahawa pegawai hendaklah bekerja dari rumah yang berdaftar dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) sahaja sepanjang tempoh BDR.
Selain itu, pegawai awam juga harus menggunakan Sistem Pemantauan Operasi Tugas Secara Elektronik (SPOT-Me).
Sistem ini membolehkan perekodan kehadiran melalui fungsi geolokasi pada peranti mudah alih dari rumah.
Malah, pegawai terbabit perlu mendaftar masuk dalam SPOT-Me setiap satu jam dan ketua jabatan hendaklah memantau keberadaan pegawai.
BACA JUGA Kerja dari rumah jauh lebih baik dari berkonvoi musim kritikal ini