Giant Stadium Shah Alam tampil wajah baharu, tawar pengalaman membeli-belah lebih moden

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Semula Giant Stadium Shah Alam yang disempurnakan oleh YB Najwan Halimi, EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik di Giant Stadium Seksyen 13, Shah Alam, Selangor. 2hb April 2026 (Khamis)

Majlis pelancaran semula Giant Stadium Shah Alam di Seksyen 13 hari ini menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh peranan pusat beli-belah itu sebagai hab gaya hidup dan komuniti bagi warga setempat. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Najwan Halimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan terhadap peranan Giant Stadium Shah Alam yang telah lama bertapak dan menjadi sebahagian daripada rutin harian masyarakat, khususnya dalam memenuhi keperluan barangan harian. Menurut beliau, lokasi tersebut bukan sekadar pusat membeli-belah, malah telah berkembang sebagai ruang komuniti yang menyatukan penduduk sekitar Shah Alam.

“Ramai dalam kalangan kita, sama ada warga Shah Alam atau yang tinggal berhampiran, menjadikan tempat ini sebagai sebahagian daripada gaya hidup mereka,” katanya.

Najwan turut menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara pihak kerajaan negeri dan sektor swasta, termasuk penganjuran program seperti Jom Shopping yang diadakan beberapa kali setahun sempena perayaan utama. Beliau berkata, kolaborasi seumpama itu bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat, malah mengeratkan hubungan antara pihak berkepentingan dan komuniti.

“Kerjasama kukuh ini amat dihargai dan kita berharap ia dapat diteruskan serta diperluaskan pada masa hadapan dengan lebih banyak inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.

Mengulas mengenai penjenamaan semula Giant Stadium Shah Alam, beliau berkata pembangunan tersebut mencerminkan keperluan pengguna masa kini dengan penambahbaikan dari segi tawaran perniagaan, pengalaman pelanggan serta kemudahan yang lebih selesa.

Tambah beliau, ruang berkenaan kini berpotensi menjadi destinasi utama bukan sahaja untuk membeli-belah, malah sebagai pusat aktiviti keluarga, platform komuniti serta lokasi penganjuran pelbagai program.

“Sebagai wakil kerajaan negeri, saya komited untuk terus menyokong inisiatif yang membawa nilai positif dan memberi impak kepada rakyat,” katanya.

Majlis pelancaran semula ini dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta memperkukuh kedudukan Shah Alam sebagai bandar yang inklusif dan mesra komuniti.

Giant Stadium Shah Alam kini kembali dengan wajah baharu selepas melalui proses penambahbaikan menyeluruh yang menjanjikan pengalaman membeli-belah lebih moden, selesa dan menarik kepada pengunjung.

Pelancaran semula pusat beli-belah ini turut menyifatkan transformasi tersebut sebagai langkah penting dalam memperkukuh peranan lokasi itu sebagai hab komuniti dan gaya hidup.

Penambahbaikan yang dilakukan melibatkan suasana ruang runcit yang lebih cerah dan kontemporari, susun atur yang lebih teratur bagi memudahkan pergerakan pelanggan serta peningkatan tahap keselesaan keseluruhan.

Antara tarikan utama ialah pembukaan MUAZ, yang kini menjadi antara penyewa utama dengan keluasan lebih 26,000 kaki persegi. Premis ini menawarkan pelbagai pilihan fesyen Muslim dan tekstil, termasuk tudung serta pakaian siap pakai, sekali gus menjadikannya destinasi sehenti bagi keperluan fesyen Muslimah.

Selain itu, cawangan MR DIY di lokasi berkenaan turut diperluaskan dengan ruang lebih besar serta pilihan produk yang lebih pelbagai, memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih menyeronokkan kepada pelanggan.

Dalam masa sama, MB Mattress tampil dengan konsep baharu yang lebih premium, menawarkan suasana lebih selesa dan pilihan produk berkualiti tinggi, sejajar dengan peningkatan gaya hidup pengguna masa kini.

Bagi melengkapkan kemudahan, sebuah farmasi tempatan dijangka dibuka tidak lama lagi, sekali gus menjadikan Giant Stadium Shah Alam sebagai destinasi beli-belah sehenti yang memenuhi keperluan harian dan kesihatan pengguna.

Sempena pelancaran semula ini, pelbagai promosi menarik ditawarkan menerusi kempen “Kini Berwajah Baharu – Promosi Hebat!” yang berlangsung dari 2 hingga 5 April 2026, bermula jam 8 pagi hingga 10 malam.

Dengan pelbagai pembaharuan dan tawaran menarik, Giant Stadium Shah Alam kini bersedia menjadi destinasi utama bagi warga Shah Alam dan sekitarnya untuk menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih lengkap dan menyeronokkan.
